hamden31/07/2026 - 16:01 Pegawai kastam Indonesia menunjukkan pakaian seragam serta dadah yang diseludup sebagai bahan bukti pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, hari ini. - Gambar/ AFP KUALA LUMPUR 31 Julai - Seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didakwa menyeludup 26 kilogram dadah jenis MDMA ke Jakarta ketika sedang bertugas, menurut Pihak Berkuasa Kastam Indonesia.
Agensi berita Reuters melaporkan juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun yang dikenali dengan inisial MS itu ditahan pada Rabu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas mengendalikan penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Jakarta.
Pegawai Kastam Indonesia, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, siasatan mendapati suspek membawa dadah tersebut di dalam sebuah bagasi atas arahan seorang individu yang tidak dikenali dengan dijanjikan ganjaran sebanyak RM50,000.
Beliau berkata, suspek kini telah dinamakan sebagai suspek jenayah dan dipercayai bertindak sebagai kurier dadah.
"Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh kokain dan methamphetamine ketika ditahan," katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Menurutnya, pihak berkuasa Indonesia kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, Malaysia Airlines memaklumkan tidak dapat mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa ia tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku dan sedang menjalankan semakan dalaman berhubung insiden berkenaan.
"Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya.
Indonesia terkenal dengan undang-undang dadah yang tegas, termasuk hukuman mati bagi kesalahan tertentu berkaitan penyeludupan dadah.
Pada 2015, negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap dua warga Australia yang terlibat dalam sindiket penyeludupan heroin dikenali sebagai Bali Nine. - DagangNews.com






