
PETALING JAYA: Seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah ke Jakarta.
Suspek didakwa mengaku sudah tiga kali menjadi ‘kurier’ bagi rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dari Kuala Lumpur pada Selasa lalu selepas pemeriksaan kastam menemukan kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis MDMA (ekstasi) dan 2.7 gram syabu dalam bagasinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
“Suspek ditahan di Indonesia dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu,” katanya.
Pegawai kastam Indonesia dilaporkan mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru pesawat sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 biji pil ekstasi dengan anggaran berat kira-kira 25kg dan sejumlah kecil syabu.
Ujian air kencing terhadap suspek turut didapati positif syabu, ekstasi dan kokain.
Sementara itu, Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigadir Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi sindiket antarabangsa.
Menurutnya, suspek dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa bekalan dadah berkenaan ke Jakarta.
Katanya, sebaik tiba di Indonesia, suspek diarahkan mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum dihubungi anggota sindiket untuk menyerahkan bagasi mengandungi dadah.
Beliau berkata, suspek turut mengaku pernah menghantar syabu ke Sabah dan menyeludup kira-kira tujuh kg syabu ke Jakarta.
Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Bareskrim Polri bagi membantu siasatan termasuk mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi merentasi Malaysia dan Indonesia.-UTUSAN
The post Juruterbang Malaysia bawa 25kg dadah ditahan di Jakarta appeared first on Utusan Malaysia.


