10 positif dadah, 235 saman di LPT1

16 Oct 2026 • 12:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 10 positif dadah, 235 saman di LPT1

TEMERLOH – Tindakan 10 lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah terbongkar apabila mereka didapati positif methamphetamine ketika pemeriksaan dalam operasi bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), malam semalam.

Dalam operasi sama, empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dan Bangladesh turut ditahan, manakala sebanyak 235 saman dan notis dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam itu dijalankan serentak di kedua-dua arah, timur dan barat, bagi memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya serta kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, operasi itu membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang serta pihak konsesi lebuh raya LPT, AFA.

“Secara keseluruhan, polis memeriksa 371 kenderaan dan 388 individu, selain mengeluarkan 139 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk kesalahan nombor pendaftaran, memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

“JPJ turut mengeluarkan 96 notis P22, manakala JAS mengeluarkan dua notis kompaun dan tiga notis arahan menjalani ujian semula serta JAS turut memeriksa lapan sijil perakuan berkaitan diesel dalam operasi berkenaan,”katanya di sini malam semalam.

Mohd Nasyim berkata, operasi itu dilaksanakan susulan statistik kemalangan jalan raya di Pahang yang merekodkan 2,161 kes bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan 44 kematian.

“Jumlah itu agak tinggi dan kita memohon kerjasama masyarakat untuk bersama-sama dengan pihak polis serta agensi penguatkuasa lain bagi menjaga nyawa dan keselamatan harta benda masing-masing,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya bukan sahaja membahayakan individu yang melakukan kesalahan, malah boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kematian kepada pengguna jalan raya lain.

Beliau memberitahu, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan kumpulan yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi berdasarkan statistik berkenaan.- KOSMO! ONLINE

The post 10 positif dadah, 235 saman di LPT1 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved