Pemandu Lori Positif Dadah, Rempuh 11 Kenderaan

10 Oct 2026 • 12:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemandu Lori Positif Dadah, Rempuh 11 Kenderaan

SHAH ALAM - Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman, di sini, pada petang Jumaat didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 51 tahun itu mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, pemandu lori berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini bagi permohonan reman.

Siasatan awal mendapati pemandu lori itu mendakwa mengalami kegagalan brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni jalan dari Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam kira-kira jam 4.20 petang.

Menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/1463949002243800, dapat dilihat lori berkenaan kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh 11 kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tiga hala Alam Budiman.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital UiTM Puncak Alam.

Isterinya, 53, dan cucu lelaki mereka berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama juga menerima rawatan di hospital berkenaan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan badan dan turut dilaporkan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping, menerusi talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan. - Getaran, 10 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved