
RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan merampas 5.72 gram dadah disyaki syabu dalam satu operasi di sebuah kampung di sini, pada Khamis.
Penahanan itu dilakukan kira-kira jam 12.10 tengah malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata operasi itu dijalankan susulan risikan berterusan dan maklumat yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung kegiatan disyaki berkaitan dadah di kawasan berkenaan.
Dalam pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan dipercayai syabu dengan berat kasar kira-kira 5.72 gram. Suspek juga didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berhubung kegiatan disyaki berkaitan dadah di kawasan masing-masing dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di 088-875222.






