
BEIJING – Seorang lelaki gelandangan berusia 71 tahun di tengah China menerima tunggakan pencen lebih 420,000 yuan (RM250,000) yang tidak pernah diketahuinya wujud, lapor saluran berita VN Express.
Lelaki hanya dikenali dengan nama keluarga Ru itu diberikan kad keselamatan sosial pada 24 September lalu oleh kakitangan pusat bantuan sosial di Changde, Wilayah Hunan.
Menurut akhbar South China Morning Post, kad itu mengandungi simpanan pencen sebanyak 424,204 yuan (RM258,588).
“Saya tidak pernah terfikir atau membayangkannya langsung,” kata Ru dengan penuh emosi kepada akhbar Xiaoxiang Morning Herald, sambil mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang membantunya.
Dia pernah bekerja selama 10 tahun di sebuah kedai milik kerajaan sehingga kedai itu muflis pada awal tahun 2000-an. Ru menerima pampasan pemberhentian kerja berdasarkan tempoh perkhidmatannya.
Dia bagaimanapun menghabiskan wang pampasan itu dengan cepat, menanggung hutang dan berselisih faham dengan ahli keluarga sebelum menjadi pemungut barang terpakai.
Lelaki itu kemudian berpindah ke Changde dan menetap di sana selama kira-kira 13 tahun.
Rekod menunjukkan Ru telah mencapai umur persaraan 60 tahun pada tahun 2015 dan berhak mendapat pencen bulanan kira-kira 3,700 yuan (RM2,200), yang telah terkumpul tanpa dituntut selama lebih 10 tahun. – AGENSI
The post 10 tahun jadi gelandangan, tidak sedar ada pencen lebih RM250,000 appeared first on Kosmo Online.




