10 Tahun Tinggal Di Jepun, Wanita Kongsi Kenapa Sukar Jumpa Anjing Liar

3 Aug 2026 • 3:51 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

10 Tahun Tinggal Di Jepun, Wanita Kongsi Kenapa Sukar Jumpa Anjing Liar

10 Tahun Tinggal Di Jepun, Wanita Kongsi Kenapa Sukar Jumpa Anjing Liar

Penulis dan Pengarah Urusan Tokyo Organic HQ, Zunita Ramli berkongsi pengalaman sepanjang lebih sedekad menetap di Jepun yang disifatkannya hampir tidak mempunyai anjing liar, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai pendekatan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan bagi menangani isu sama di Malaysia.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, Jepun suatu ketika dahulu turut berdepan masalah serius melibatkan kes gigitan anjing, namun berjaya mengawalnya menerusi pelaksanaan undang-undang serta sistem pengurusan haiwan yang lebih tersusun.

Menurut Zunita, statistik sekitar awal 1970-an merekodkan puluhan ribu kes gigitan anjing setiap tahun dengan beberapa kes kematian, sekali gus mendorong kerajaan Jepun mengambil tindakan menyeluruh.

Katanya, susulan itu, Ahli Parlimen Jepun ketika itu, Terada Kumao, membawa isu berkenaan ke Parlimen sebelum negara tersebut meluluskan Akta Perlindungan dan Pengurusan Haiwan pada tahun 1973.

Ujarnya, undang-undang berkenaan bukan sahaja memberi penekanan terhadap kebajikan haiwan, malah memastikan haiwan peliharaan diurus dengan baik supaya tidak membahayakan nyawa, keselamatan dan harta benda orang ramai.

Baca juga:

Beliau berkata, antara syarat utama yang diwajibkan kepada pemilik anjing di Jepun ialah mendaftarkan haiwan peliharaan dengan pihak berkuasa tempatan, memastikan vaksin rabies diberikan setiap tahun serta memasang mikrocip bagi memudahkan proses pengesanan sekiranya haiwan tersebut terlepas.

Menurutnya, kebanyakan anjing di Jepun dipelihara di dalam rumah dan perlu dipakaikan tali (leash) ketika dibawa keluar, sekali gus mengurangkan risiko haiwan berkeliaran tanpa pengawasan.

Tambahnya, walaupun masih terdapat anjing liar di Jepun, jumlahnya amat kecil dan kebiasaannya haiwan berkenaan akan diselamatkan oleh pertubuhan kebajikan haiwan untuk ditempatkan bersama keluarga angkat.

Katanya, sebagai pilihan terakhir, anjing yang mengalami penyakit kritikal atau tidak lagi boleh dipulihkan akan menjalani prosedur eutanasia mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengakhiri perkongsiannya, Zunita berkata sudah tiba masanya semua pihak memikirkan penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu anjing liar secara lebih sistematik, dengan mengambil kira aspek keselamatan awam, kebajikan haiwan serta penguatkuasaan undang-undang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved