[VIDEO] Tiada SOP dilanggar dalam operasi tangkap anjing – MBDK

3 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Tiada SOP dilanggar dalam operasi tangkap anjing – MBDK

SHAH ALAM – Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden tangkapan anjing liar sehingga membawa kematian haiwan itu di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah perebutan daripada individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan sehingga mengganggu operasi tangkapan itu.

Beliau berkata, kaedah tangkapan yang digunakan pihaknya adalah mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kalau ikut penjelasan pegawai dan anggota terlibat, kita mengikut SOP ditetapkan. Tangkapan menggunakan loop ataupun menggunakan jaring seperti tangkap rama-rama, itulah kaedah yang kita gunakan.

“Pada malam tersebut, kita telah pun berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama daripada penduduk. Cuma yang berlaku anjing yang ke-13.

“Ini berlaku akibat daripada perebutan. Kalau penduduk ataupun yang mengaku sebagai pemilik itu tidak mengganggu operasi kita, anjing itu dijangka tidak akan mati,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, individu yang mendakwa memiliki anjing berkenaan sepatutnya membuat tuntutan selepas haiwan itu ditangkap mengikut prosedur ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, individu terbabit kemudiannya mendakwa anjing tersebut bukan miliknya.

“Kalau ikut kenyataan awalnya dia kata milik dia, tapi akhir sekali dia kata bukan pula. Jadi kita tak tahu. Jadi, kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan selesai.

“Setakat ini, dua orang pegawai MBDK yang berkaitan telah pun dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis,” jelasnya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat terhadap kaedah tangkapan anjing adalah berbeza, namun pihaknya perlu mengambil kira aspek keselamatan anggota serta penduduk.

“Kalau kita tangkap anjing macam tangkap rama-rama mungkin berbeza sebab bila anjing ini satu binatang yang agresif, kita tak boleh nak tangkap secara berlemah lembut kerana ia boleh membahayakan kita dan juga boleh terlepas.

“Jadi dalam SOP, loop itu memang ada sekatan. Tapi bila ada ditarik seterusnya hendak dipotong tali kita pegang malah ugutan mencederakan diri daripada wanita yang mengaku anjing itu milik dia,” ujarnya.

Tambahnya, notis pemakluman mengenai operasi tangkapan anjing liar telah diberikan lebih awal menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), manakala operasi tersebut membabitkan 11 anggota MBDK bersama kira-kira 50 penduduk.

Katanya, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan menjejaskan keselamatan penduduk.

“Kita menerima kira-kira 50 aduan anjing liar setiap bulan. Masalah ini agak kritikal di kawasan berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.

Abd. Hamid berkata, pihaknya berdepan kekangan untuk menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta bagi menjalankan operasi tangkapan.

“Kita cuba mencari syarikat swasta untuk menjalankan kerja tangkapan tetapi tiada yang bersedia. Jadi usaha ini dibuat sendiri oleh kakitangan majlis.

“Kakitangan kita kurang daripada 20 orang sedangkan aduan banyak dan kawasan Klang sangat luas. Anjing pula banyak berada di kawasan industri serta perumahan dan biasanya keluar pada waktu malam, menyebabkan sukar ditangkap dengan segera,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan operasi penangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan. – KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] Tiada SOP dilanggar dalam operasi tangkap anjing – MBDK appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved