101,901 pegawai, anggota penyelamat sedia hadapi banjir

LocalEnvironment
30 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 101,901 pegawai, anggota penyelamat sedia hadapi banjir

PUCHONG – Seramai 101,901 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penyelamat serta lebih 40,000 aset berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Ketua Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Mejar Wazirudin Mahfot @ Mahbott berkata, kesiapsiagaan itu merangkumi penyelarasan antara agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa serta pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.

“Pegawai dan anggota ini merangkumi 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, 21,477 anggota Polis Diraja Malaysia, 12,927 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta 5,252 anggota Angkatan Tentera Malaysia.

“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3.6 juta untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta RM3.4 juta bagi agensi tindak balas,” katanya.

Beliau berkata demikian membentangkan Penyelarasan Inter-Agensi Bagi Operasi Sewaktu MTL pada Sesi Libat Urus Bersama Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 3,045 lokasi hot spot banjir berlaku tahun ini, telah dikesan.

Katanya, berdasarkan maklumat dikongsikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan, negeri dengan hot spot banjir tertinggi ialah Kelantan iaitu 609 kawasan, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348).

“Data daripada Jabatan Mineral dan Geosains pula menunjukkan sebanyak 31 hot spot tanah runtuh dikesan di beberapa kawasan dalam negara antaranya Gunung Jerai, Kedah; Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Kundasang, Sabah dan Cameron Highlands, Pahang,” katanya.

Tambah Wazirudin, bagi hot spot cerun kritikal, sebanyak 263 lokasi dikenal pasti yang mana 90 lokasi kritikal tinggi di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dengan pemantauan tiga kali setahun.

“Terdapat 92 lokasi kritikal sederhana di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan pemantauan dua kali setahun serta 81 lokasi kritikal rendah iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Sabah dengan pemantauan setiap 18 bulan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan 8,321 Pusat Pemindahan Sementara di seluruh negara yang dapat menampung kira-kira 1.9 juta mangsa serta dua Pusat Pemindahan Kekal Bencana iaitu di Johor dan Pahang yang boleh menempatkan 1,600 mangsa.

Katanya, sebanyak 60,000 unit Kit Makanan (KM) dan 170,000 Makanan Retort (MRE) diperuntukkan untuk mangsa bencana di seluruh negara.

“Untuk fasa satu, sebanyak 29,900 unit KM dan 94,510 unit MRE diagihkan terlebih dahulu ke semua negeri.

“Baki sebanyak 30,100 unit KM dan 75,490 unit MRE akan diagihkan bergantung kepada keperluan dan permohonan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 101,901 pegawai, anggota penyelamat sedia hadapi banjir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved