3,682 lokasi ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara

LocalEnvironment
27 Oct 2026 • 1:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 3,682 lokasi ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara

PETALING JAYA: Sebanyak 3,682 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan titik panas (hotspot) banjir di seluruh negara menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula hari ini hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 25,592 pegawai dan anggota serta 1,248 aset pelbagai jenis jabatan itu berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan tindakan di kawasan berisiko, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) digerakkan.

Manakala, katanya, pangkalan operasi hadapan atau Regional Forward Base (RFB) di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor turut diaktifkan bagi memudahkan mobilisasi anggota serta aset ke lokasi yang memerlukan bantuan.

“Perancangan kesiapsiagaan keanggotaan JBPM merangkumi 13,631 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,227 Pegawai Bomba Bantuan (PBB), 8,956 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 62 petugas kejuruteraan.

“Pembekuan cuti antara 80 hingga 100 peratus turut dilaksanakan mengikut keperluan operasi, khususnya di negeri berisiko terjejas, bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi menyokong operasi menyelamat, JBPM menyediakan 571 kenderaan angkut ringan, 144 kenderaan angkut berat dan 529 aset marin, selain empat helikopter serta tiga unit dron.

“Sebanyak 150 bot komuniti turut dibekalkan bagi membantu penduduk setempat melaksanakan tindakan awal ketika kecemasan dengan mengutamakan aspek keselamatan,” jelasnya.

Nor Hisham berkata, JBPM turut memperkukuh perancangan operasi menerusi penyediaan keanggotaan, kesiapsiagaan aset dan logistik serta penempatan sumber secara strategik bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

Menurutnya, pada fasa awal MTL dari November 2026 hingga Januari 2027, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Keadaan ini turut berpotensi menyebabkan laut bergelora dan kenaikan paras air laut di perairan Laut China Selatan berikutan tiupan angin timur laut yang berterusan.

“Keutamaan kami adalah keselamatan rakyat. JBPM telah merangka strategi tindak balas menyeluruh merangkumi aspek pencegahan dan mitigasi, perancangan serta kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan dan pemulihan pascabencana,” jelasnya.

Beliau berkata, perancangan operasi turut mengambil kira maklumat berkaitan risiko bencana bagi menentukan keutamaan penempatan anggota dan aset berdasarkan tahap risiko serta keperluan di lapangan.

Katanya, keupayaan pasukan respons pantas turut dipertingkatkan menerusi penglibatan Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi menyediakan bantuan perubatan kecemasan serta melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir.

Dalam pada itu, kesiapsiagaan anggota dan aset dipastikan menerusi pemeriksaan serta penyelarasan logistik melalui program MTL Log Day yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Latihan kesiapsiagaan turut dijalankan bagi menguji keupayaan operasi serta memastikan penyelarasan antara pasukan berjalan lancar ketika berdepan situasi kecemasan,” jelasnya.

Mengulas mengenai jangkaan cuaca pada fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, Nor Hisham berkata, taburan hujan dijangka berkurangan khususnya di utara Semenanjung dan Sabah.

Bagaimanapun, pengaruh fenomena El Nino yang sangat kuat berpotensi menyebabkan keadaan lebih panas dan kering, sekali gus meningkatkan risiko gelombang haba ekstrem.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengikuti maklumat dan amaran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi jabatan berkenaan.

“JBPM akan terus memperkukuh kesiapsiagaan serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan demi melindungi nyawa, keselamatan orang awam serta harta benda sepanjang MTL 2026/2027,” katanya. – UTUSAN

The post 3,682 lokasi ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved