106 kekosongan jawatan doktor di Perak, nisbah bawah paras nasional - Exco

LocalHealth & Fitness
15 Apr 2026 • 1:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 106 kekosongan jawatan doktor di Perak, nisbah bawah paras nasional - Exco
Sivanesan menjawab soalan Zafarulazhan dalam Sidang DUN Perak pada Rabu.
Image from: 106 kekosongan jawatan doktor di Perak, nisbah bawah paras nasional - Exco

IPOH - Sebanyak 106 kekosongan jawatan pegawai perubatan direkodkan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Perak setakat Februari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, jumlah penjawatan tersebut diperlukan susulan pertambahan populasi dan kompleksiti penyakit.

Menurut beliau, walaupun negeri ini menerima penambahan waran perjawatan serta lantikan kontrak setiap tahun, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan optimum.

“Isu ini bukan hanya di Perak, tetapi dihadapi di semua negeri. Agihan penempatan pegawai perubatan ditentukan oleh KKM berdasarkan kelulusan sumber manusia daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan terus berunding dengan KKM bagi memastikan penambahan pegawai perubatan dapat dipertingkatkan, khususnya di hospital berpakar," katanya menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, nisbah doktor kepada penduduk di Perak kini berada pada kadar 1:466 bagi setiap 1,000 populasi.

**media[3492324]**

Katanya, nisbah tersebut masih rendah berbanding purata nasional iaitu 1:403, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah tenaga kerja kesihatan di negeri ini.

"Kedudukan Malaysia secara keseluruhan masih lebih baik berbanding beberapa negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Myanmar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aspek kesihatan mental petugas kesihatan turut diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif sokongan psikososial.

Menurut beliau, antara program dilaksanakan termasuk saringan kesihatan mental secara berkala menerusi Program KOSPEN WOW bagi mengesan tahap tekanan, keresahan dan kemurungan dalam kalangan petugas.

Selain itu, intervensi khusus turut disediakan melibatkan kaunselor, pegawai psikologi dan pakar psikiatri bagi membantu mereka yang memerlukan rawatan lanjut.

"Sehingga kini terdapat 39 pakar psikiatri yang ditempatkan di beberapa hospital utama di Perak termasuk 14 orang di Hospital Bahagia Ulu Kinta dan lapan di Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya.