IPOH - Perak sedang mengenal pasti tanah milik kerajaan yang berpotensi dibangunkan sebagai tapak khas atau bank tanah bagi membantu golongan belia menceburi sektor pertanian moden.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah bersama agensi teknikal seperti Jabatan Pertanian bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri.
Menurutnya, penglibatan belia dalam pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan pertanian pintar kini menjadi keperluan strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.
"Kerajaan negeri sememangnya sedar bahawa kekangan tanah menjadi antara cabaran utama belia untuk terlibat dalam pertanian moden, justeru kita ambil langkah proaktif menyediakan tapak bersesuaian,” katanya menjawab soalan tambahan Salina Samsudin (BN-Behrang) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, latihan, khidmat teknikal serta bantuan permulaan turut disediakan kepada golongan petani muda dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
**media[3492332]**
Katanya, langkah itu termasuklah sokongan pembiayaan melalui Program Agropreneur Next Gen yang menawarkan geran hingga RM30,000 kepada belia di samping kemudahan pembiayaan oleh Agrobank.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi akses kepada tanah tetapi memastikan belia dibimbing sehingga mampu mengusahakan projek secara berdaya maju,” katanya.
Mohd Zolkafly berkata, aspek pemasaran turut diberi perhatian menerusi Program Ladang Kontrak yang menjamin pasaran hasil pertanian.
“Sehingga 2025, seramai 140 peserta Ladang Kontrak FAMA di Perak adalah terdiri daripada golongan belia, menunjukkan potensi besar sektor ini,” katanya.


