Perak pertimbang penjajaran belanjawan jika krisis tenaga global meruncing

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak pertimbang penjajaran belanjawan jika krisis tenaga global meruncing
Saarani ketika menjawab soalan tambahan Kor Ming sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Image from: Perak pertimbang penjajaran belanjawan jika krisis tenaga global meruncing

IPOH – Kerajaan negeri Perak mempertimbangkan langkah penjajaran semula belanjawan sedia ada sebagai pendekatan awal sekiranya krisis tenaga global semakin meruncing dan memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri ketika ini mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan termasuk membentangkan belanjawan tambahan.

Menurutnya, landskap geopolitik dunia yang tidak menentu memerlukan kerajaan bertindak secara fleksibel dan responsif tanpa membuat andaian awal.

"Pengalaman ketika Covid-19, kita tak buat belanjawan tambahan. Kita hanya buat penjajaran semula. Dengan bajet yang sedia ada di persekutuan pun dibuat penjajaran semula juga.

"Di mana ada projek-projek yang pada pendapat kita tak boleh dilakukan kerana peningkatan kos pembinaan yang meningkat, barangkali kita jajarkan sahaja dalam bentuk bantuan lain untuk perbelanjaan lain.

"Itu satu kaedah penjajaran tetapi jika ia sangat kritikal dan memerlukan kerajaan berbelanja lebih, kita akan teliti dan jika ia perlu kita akan memanggil sidang khas untuk buat belanjawan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saarani menjelaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai pengalaman mengurus krisis besar ketika pandemik Covid-19, yang menyaksikan hampir semua sektor ekonomi terhenti.

Katanya, berbanding situasi tersebut, kesan krisis tenaga ketika ini masih berada pada tahap terkawal apabila aktiviti ekonomi terus berjalan.

"Pada pandangan saya, untuk setakat ini krisis Covid-19 jauh lebih menderitakan. Semua supermarket ditutup. Semua pengusaha-pengusaha PKMS (Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana) ditutup.

"Semua food court ditutup. Pasar malam ditutup. Pasar tani ditutup. Menjadikan rakyat lebih menderita maka pada waktu itu kerajaan mengambil inisiatif untuk menyampaikan bantuan makanan ke rumah kepada mereka yang terkesan," jelasnya.

**media[3492335]**

Bagaimanapun kali ini katanya, semua terkesan akibat daripada masalah harga minyak yang melambung ekoran daripada sekatan di Selat Hormuz.

"Tapi di dalam negeri Perak yang boleh saya katakan, rakyat masih boleh menjalankan urusan. Yang menoreh boleh menoreh, yang berkebun masih boleh berkebun.

"Cuma di peringkat kerajaan negeri kita nak pastikan supaya mereka tidak terkesan sehingga menyebabkan kekurangan ataupun kehabisan barang makanan asas," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri cenderung menggunakan pendekatan penjajaran semula peruntukan sebagai langkah awal tanpa perlu terus membentangkan belanjawan tambahan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada aspek keterjaminan makanan sebagai strategi jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Katanya, usaha itu selari dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menyasarkan negeri tersebut sebagai pengeluar makanan utama negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaburan asing di negeri ini masih kekal stabil dan tidak terjejas secara signifikan setakat ini.

Menurutnya, tiada projek utama dibatalkan dan projek sedia ada terus berjalan seperti dirancang.

"Impak kepada negeri ini setakat ini masih berada pada tahap minimum dan terkawal. Tiada pelaburan utama yang dibatalkan, manakala projek-projek sedia ada terus berjalan seperti yang dirancang.

"Malah dari sudut peluang, Malaysia termasuk negeri Perak ini berpotensi untuk mendapat manfaat daripada fenomena peralihan rantaian bekalan apabila syarikat antarabangsa mencari destinasi pelaburan alternatif yang lebih stabil di rantau Asia," katanya.