109 mangsa pelaburan gesa AGC dakwa semula suspek

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 7:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 109 mangsa pelaburan gesa AGC dakwa semula suspek

PUTRAJAYA: Seramai 109 mangsa skim pelaburan saham atau skim ponzi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa semula suspek yang terbabit menggelapkan wang mereka empat tahun lalu membabitkan keseluruhan RM29 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pendakwaan semula itu perlu dibuat susulan keputusan dikeluarkan mahkamah baru-baru ini.

Katanya, mahkamah isytiharkan perjanjian pelaburan yang ditandatangani antara syarikat dan peserta telah terbatal sejak awal dan mendapati berlaku penipuan dan salah nyata terhadap pelabur.

“Sehubungan itu, mangsa berharap dapatan mahkamah berkenaan dapat dijadikan asas baharu untuk membuka semula siasatan jenayah terhadap pihak yang terlibat.

“Mangsa mahu AGC mempertimbangkan pendakwaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana percaya wang pelaburan dikutip tanpa niat sebenar untuk menunaikan janji pulangan seperti yang ditawarkan,” katanya.

Terdahulu, lebih 50 mangsa skim itu berhimpun di hadapan lobi Jabatan Peguam Negara (AGC) mendesak jabatan itu menyegerakan proses pendakwaan berhubung kes itu.

Katanya, mangsa juga mahu suspek serta individu lain yang terlibat dalam kes berkenaan didakwa semula.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini mengisytiharkan skim pelaburan tersebut sebagai skim pengambilan deposit haram serta mempunyai ciri-ciri skim Ponzi atau piramid.

Sebelum ini, mangsa membuat laporan polis berhubung kes tersebut, namun keba­nyakan laporan diklasifikasi sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, tindakan itu ekoran BNM mengeluarkan kenyataan pada September 2023 bahawa beberapa syarikat yang dikaitkan dengan individu berkenaan didapati menerima deposit daripada orang awam tanpa kebenaran.

“Susulan itu, syarikat-syarikat terbabit dikompaun RM50 juta kerana melanggar Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Bagaimanapun, mangsa berpendapat tindakan kompaun sahaja tidak memadai memandangkan mereka kehilangan wang dalam jumlah yang besar,” katanya.

Katanya, mangsa juga telah beberapa kali mengemukakan rayuan dan memorandum kepada pihak berkuasa bagi memohon siasatan lanjut dijalankan.

Hishamuddin berkata, perkembangan terbaharu kes itu memberi harapan kepada mangsa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan deklarasi yang difailkan oleh sekumpulan pelabur lain dalam skim yang sama. –UTUSAN

The post 109 mangsa pelaburan gesa AGC dakwa semula suspek appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved