2 Kali Diperdaya ‘Scammer’, Jurujual Pasar Raya Rugi RM290,910

LocalBusiness & Finance
2 Aug 2026 • 1:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

2 Kali Diperdaya ‘Scammer’, Jurujual Pasar Raya Rugi RM290,910

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual pasar raya berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM290,910 selepas dua kali menjadi mangsa penipuan terancang, melibatkan skim pelaburan dalam talian palsu dan individu yang menyamar sebagai ejen pemulihan wang.

Mangsa membuat laporan polis pada jam 12.59 tengah hari Sabtu selepas menyedari dirinya ditipu menerusi satu skim pelaburan yang diiklankan di Facebook sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa pada awalnya tertarik dengan tawaran pelaburan berkos rendah yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh hanya tiga jam.

Menurut beliau, mangsa kemudian membuat pemindahan wang sebagai modal permulaan sebelum dimaklumkan bahawa pelaburannya telah menghasilkan keuntungan. 

Bagaimanapun, mangsa diberitahu bahawa bayaran tambahan perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan keuntungan tersebut dikeluarkan.

“Selepas membuat semua bayaran yang diminta, mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

“Kemudian, mangsa dihubungi seorang individu mendakwa sebagai pegawai mengendalikan kes penipuan dalam talian dan menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula wang yang hilang. Namun, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan,” katanya.

Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa meneruskan transaksi sebanyak 57 kali ke dalam 16 akaun bank berbeza antara 14 Jun hingga 31 Julai lalu.

Azli berkata, jumlah keseluruhan kerugian mangsa mencecah RM290,910, termasuk wang simpanan peribadi serta wang yang diperoleh selepas menggadaikan barang kemas emas miliknya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat. 

Orang ramai juga digesa membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sesuatu skim sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. - Getaran, 2 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved