11,208 kanak-kanak abadikan keunikan Malaysia dalam kolaj

1 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 11,208 kanak-kanak abadikan keunikan Malaysia dalam kolaj

Mengenali keunikan Malaysia tidak semestinya bermula daripada buku teks, sebaliknya boleh hadir melalui apa yang dilihat dan dialami sendiri oleh kanak-kanak di persekitaran mereka.

Daripada mercu tanda, budaya, alam semula jadi hinggalah kepada masyarakat setempat, setiap perkara boleh menjadi sumber pembelajaran apabila diteroka melalui mata seorang kanak-kanak.

Menerusi KOKO KRAF CLUB, seramai 11,208 pelajar dari 534 sekolah di 141 daerah berpeluang mengenali dengan lebih dekat keunikan tempat, budaya dan komuniti masing-masing sebelum menterjemahkannya dalam bentuk seni kolaj.

Pertandingan seni kraf kolaj peringkat kebangsaan anjuran Nestlé Koko Krunch dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu mengetengahkan tiga tema iaitu ‘Beauty of My District’, ‘Beauty of My State’ dan ‘Beauty of Malaysia’.

Melalui setiap tema, para pelajar bukan sekadar menghasilkan karya seni, malah diajak meneroka perkara yang menjadikan daerah dan negeri mereka istimewa sebelum menggabungkan penemuan tersebut dalam hasil kolaj.

Proses berkenaan memberi peluang kepada mereka mempelajari kepelbagaian landskap, warisan budaya dan kehidupan masyarakat di sekeliling, selain memahami setiap kawasan mempunyai identiti tersendiri.

Apa yang dipelajari kemudiannya diterjemahkan melalui penggunaan warna, tekstur dan imaginasi bagi menghasilkan karya yang menggambarkan perspektif mereka terhadap Malaysia.

Selepas melalui peringkat daerah dan negeri, 15 pasukan finalis berkumpul di NU Sentral, Kuala Lumpur bagi peringkat akhir untuk mengetengahkan interpretasi mereka mengenai keistimewaan negara.

Image from: 11,208 kanak-kanak abadikan keunikan Malaysia dalam kolaj

Daripada 15 pasukan itu, Aniqkh Hasiff, Afifa Auliaa dan Nisaa Izz dari Sekolah Kebangsaan Balai Badang dinobatkan sebagai juara kebangsaan menerusi karya yang menggabungkan mercu tanda ikonik, hidupan liar tempatan, bunga Rafflesia serta elemen tradisional.

Karya berkenaan memperlihatkan bagaimana elemen alam semula jadi, warisan dan budaya boleh digabungkan dalam satu hasil seni bagi menceritakan keunikan Malaysia.

Juara kebangsaan menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil, manakala pihak sekolah menerima hadiah wang tunai RM2,000 sebagai pengiktirafan atas pencapaian tersebut.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nestlé Cereal Partners Worldwide (Malaysia dan Singapura), Philip Joe berkata, beliau tertarik melihat cara para pelajar memahami dan menzahirkan keistimewaan Malaysia mengikut perspektif masing-masing.

“Setiap seni kolaj membawa kisah yang berbeza, sama ada mengenai mercu tanda setempat, tradisi budaya mahupun masyarakat yang menjadikan sesebuah komuniti begitu istimewa.

“Kanak-kanak sememangnya mempunyai daya ingin tahu serta kreativiti yang tinggi. KOKO KRAF CLUB diasaskan untuk memberikan mereka ruang untuk mengekspresikan pandangan masing-masing secara kreatif,” katanya.

Menurutnya, penyertaan lebih 11,000 pelajar pada tahun ini amat memberangsangkan, selain kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia membolehkan pengalaman tersebut dibawa kepada sekolah dan komuniti di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pendidikan bukan sekadar membekalkan pelajar dengan ilmu, malah memberi peluang kepada mereka mengenal pasti kebolehan dan mengembangkan potensi masing-masing.

“Platform seperti KOKO KRAF CLUB melengkapkan pengalaman pembelajaran dengan menawarkan saluran tambahan untuk para pelajar meneroka seni visual serta mempamerkan kebolehan mereka,” katanya.

Pengalaman tersebut turut memperkenalkan para pelajar kepada nilai kerjasama apabila mereka perlu menggabungkan idea dan kreativiti untuk menghasilkan karya bersama.

Bagi Nelly Jimmy dari Sekolah Kebangsaan Tangkungon, Telupid, Sabah, kejayaan dua daripada 15 penyertaan sekolah itu mara ke peringkat akhir di Kuala Lumpur menjadi pengalaman membanggakan buat komuniti sekolah.

Image from: 11,208 kanak-kanak abadikan keunikan Malaysia dalam kolaj

Katanya, guru, ibu bapa dan pihak sekolah berganding bahu membantu para pelajar membuat persediaan serta mengatur perjalanan mereka dari Telupid ke Kuala Lumpur.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, namun segala usaha yang dicurahkan amat berbaloi apabila melihat mereka berpeluang menimba pengalaman di luar persekitaran yang biasa mereka lalui.

“Pengalaman ini turut memberi inspirasi kepada kami untuk menubuhkan kumpulan kolaj khas sebagai persediaan untuk menyertai KOKO KRAF CLUB pada tahun hadapan,” katanya.

Lebih daripada sekadar menghasilkan karya untuk pertandingan, pengalaman menerusi KOKO KRAF CLUB memberi ruang kepada kanak-kanak mengenali tempat yang mereka diami, memahami kepelbagaian budaya dan melihat keunikan Malaysia daripada perspektif sendiri.

Daripada proses mencari idea sehingga menghasilkan kolaj, mereka berpeluang belajar meneroka, bekerjasama dan mengekspresikan apa yang difahami melalui kreativiti.

The post 11,208 kanak-kanak abadikan keunikan Malaysia dalam kolaj appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved