Ubat sampai ke rumah, caj pos percuma mulai hari ini

LocalHealth & Fitness
1 Oct 2026 • 11:52 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ubat sampai ke rumah, caj pos percuma mulai hari ini

PETALING JAYA – Pesakit yang menerima bekalan ubat susulan daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini boleh mendapatkan penghantaran terus ke rumah secara percuma mulai hari ini.

Inisiatif menerusi perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) itu dilaksanakan hasil kerjasama KKM dengan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pos Malaysia Berhad.

Semalam, KKM menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, caj penghantaran UMP akan dibiayai sepenuhnya bagi warganegara Malaysia yang membuat permohonan menerusi aplikasi MyUBAT.

Katanya, kemudahan berkenaan membolehkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu hadir ke hospital atau klinik kesihatan semata-mata untuk mengambil ubat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan di seluruh negara.

Beliau berkata, sebelum ini pesakit perlu membayar caj penghantaran sebanyak RM5.70 di Semenanjung Malaysia dan RM12.50 bagi penghantaran ke Sabah serta Sarawak.

Sementara itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, kemudahan tersebut dijangka banyak membantu golongan ibu bapa, terutama pesakit yang perlu berulang-alik setiap bulan hanya untuk mendapatkan bekalan ubat.

Bagaimanapun, PHM memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan cubaan penipuan yang mungkin mengambil kesempatan daripada pengumuman kemudahan berkenaan.

“Jadi kalau selepas ini muncul iklan ‘Klik sini untuk daftar penghantaran ubat percuma KKM’ di Facebook, TikTok atau pautan yang meragukan, jangan terus masukkan maklumat peribadi,” menurut hantaran tersebut.

PHM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan kod OTP atau nombor kad kepada mana-mana pihak yang mendakwa menawarkan pendaftaran penghantaran ubat percuma.

Sebaliknya PHM berkata, orang ramai disarankan menggunakan saluran rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat dan membuat permohonan. – KOSMO! ONLINE

The post Ubat sampai ke rumah, caj pos percuma mulai hari ini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved