DUNGUN - Seramai 11 individu dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Uda, Paka di sini pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu melibatkan dua buah kereta jenis Proton Persona dan Perodua Axia, serta dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Norhazamullah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 malam sebelum lima anggota bergegas ke lokasi berkenaan.
"Sejurus tiba, kami dapati sebahagian mangsa telah berjaya keluar dengan bantuan orang awam.
"Bagaimanapun, pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan seorang wanita dewasa yang tersepit di tempat duduk penumpang kereta Proton Persona," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Norhazamullah, pemandu Proton Persona turut mengalami kecederaan, manakala pemandu Toyota Hilux, Isuzu D-Max serta beberapa penumpang lain hanya mengalami cedera ringan.
"Kesemua mangsa telah dikejarkan ke klinik berhampiran dan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut oleh pasukan perubatan.
"Operasi pembersihan sisa kemalangan tamat sepenuhnya pada jam 10.50 malam," katanya.
Difahamkan, insiden dipercayai bermula apabila pemandu Proton Persona cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang ingin membelok ke kanan di persimpangan tersebut.
Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan merempuh tiang lampu isyarat sebelum melanggar tiga kenderaan lain yang berada di laluan bertentangan.






