Dymon Asia jual saham RM22 juta, bukan lagi pemegang utama Spritzer

29/07/2025 - 11:31
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Julai – Firma ekuiti persendirian yang berpangkalan di Singapura, Dymon Asia Private Equity (SE Asia) Fund LP (DAPE), bukan lagi pemegang saham utama dalam Spritzer Bhd selepas melupuskan 2.28% saham syarikat itu dalam satu urus niaga luar pasaran baru-baru ini.
DAPE melupuskan 14.5 juta saham Spritzer pada 24 Julai lalu melalui entiti pelaburannya, Tasik Puncak Holdings Ltd, pada harga RM1.53 sesaham dengan jumlah transaksi bernilai RM22.19 juta.
Pelupusan ini menyusuli penjualan terdahulu sebanyak 5.47% saham pada harga yang sama, yang membawa pulangan bernilai RM53.24 juta.
Susulan kedua-dua transaksi tersebut, pegangan DAPE dalam Spritzer kini merosot kepada 3.28%, berbanding 11.02% sebelum ini.
DAPE mula melabur dalam Spritzer pada tahun 2017 menerusi penempatan swasta bernilai RM63.81 juta, yang melibatkan pengambilalihan 27.39 juta saham baharu atau 13.04% pegangan pada harga RM2.33 sesaham.
Pegangan itu kemudiannya bertambah melalui perjanjian pertukaran saham bersama Yee Lee Organization Bhd dan keluarga Datuk Sri Lim A Heng @ Lim Kok Cheong pada 2021, selain penerbitan bonus saham pada 2023 dan 2025.
Berdasarkan harga semasa RM1.53 sesaham, baki saham DAPE kini dianggarkan bernilai RM31.92 juta.
Secara keseluruhan, nilai pelaburannya dalam Spritzer telah meningkat kepada RM107.35 juta, iaitu keuntungan sekitar 68.2% daripada pelaburan asal, tidak termasuk dividen.
Yee Lee Corp Bhd, yang dimiliki oleh Datuk Sri Lim A Heng dan keluarganya, kekal sebagai pemegang saham terbesar Spritzer dengan pegangan sebanyak 32.3%. - DagangNews.com
standard
