Sektor perdagangan borong dan runcit naik 4.8% pada Jun - DOSM

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 5:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor perdagangan borong dan runcit naik 4.8% pada Jun - DOSM

image is not available

08/08/2025 - 17:02

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Sektor perdagangan borong dan runcit negara kekal kukuh apabila mencatat pertumbuhan 4.8% pada Jun 2025 dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM153.0 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan positif dalam sub-sektor perdagangan runcit dan borong yang terus mencerminkan kekuatan permintaan domestik.

“Perdagangan runcit mencatatkan jualan RM67.5 bilion dengan pertumbuhan 5.4% tahun ke tahun (y-o-y), manakala perdagangan borong meningkat 5.2% kepada RM68.3 bilion.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh aktiviti penggunaan domestik yang aktif, terutamanya ketika sambutan Aidiladha dan cuti pertengahan tahun sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, trend peningkatan ketara dalam transaksi pembayaran digital negara, membuktikan peralihan yang konsisten ke arah ekonomi tanpa tunai.

“Transaksi wang elektronik (e-wallet) melonjak 71.3% y-o-y kepada RM21.7 bilion, manakala penggunaan platform Real-time Retail Payments Platform (RPP) merekodkan nilai transaksi RM277.2 bilion.

“Transaksi menerusi Financial Process Exchange (FPX) turut meningkat 11.4% kepada RM31.2 bilion, disokong oleh penggunaan perbankan dalam talian, sementara kad kredit mencatat perbelanjaan stabil sebanyak RM18.1 bilion manakala transaksi kad debit pula naik 3.9% kepada RM13.2 bilion,” katanya.

Dalam sub-sektor runcit, kedai tidak khusus seperti pasar raya dan kedai serbaneka menyumbang RM26.2 bilion – meningkat 5.7% y-o-y.

Selain itu, beliau berkata, kedai khusus pula seperti kosmetik, pakaian dan optikal pula merekodkan jualan RM14.3 bilion, meningkat 5.9%.

“Bagi perdagangan borong, kategori makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.7% kepada RM13.9 bilion, dipacu oleh permintaan terhadap produk seperti daging, ayam, telur, beras dan barangan bakeri.

“Jualan borong barangan isi rumah seperti elektrik, elektronik, pakaian dan perabot turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.3% kepada RM14.4 bilion,” katanya. - DagangNews.com

standard