
PONTIAN – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) telah menghantar notis di bawah Seksyen 70a(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada 14 pemilik tanah yang dijadikan tapak pembuangan sisa binaan dari Singapura.
Yang DiPertua MPPn, Sulaiman Ismail berkata, daripada 14 pemilik, 11 lokasi telah ditutup daripada dimasuki oleh mana-mana pihak sebagaimana notis yang ditampal di laluan masuk lokasi tersebut.
Katanya, kebanyakan lokasi berada di Mukim Sungai Karang selain beberapa lokasi di Mukim Pontian, Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja dan Mukim Serkat.
Bahagian Penguatkuasaan MPPn akan terus memasang notis di lokasi lain bagi mengelak sebarang pencerobohan dilakukan oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti sama.
“Setakat ini, 14 notis diserahkan kepada pemilik tanah, 11 lokasi dipasang pita kuning yang mengarahkan supaya tidak lagi melakukan kerja-kerja penambakan tanah.
“Notis itu juga meminta pemilik tanah memajukan pelan kerja tanah dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh penerimaan notis ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Pada 18 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan Singapura mengarahkan semua penghantaran sisa bahan binaan atau Construction and Demoliton (C&D) Waste ke Malaysia dihentikan serta-merta.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Daud Saeng, 59, menyambut baik kerjasama kerajaan Singapura yang mengambil tindakan segera bagi membendung aktiviti tersebut.
Katanya, dengan tiadanya pergerakan lori pada waktu malam, kira-kira 2,000 penduduk Mukim Sungai Karang tidak lagi berasa terganggu termasuk ketika tidur seperti yang dihadapi mereka sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah diharap aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku kerana penduduk sekian lama mengalami penderitaan disebabkan perbuatan daripada golongan yang ingin mengaut keuntungan semata-mata,” ujarnya.
Bagi penduduk Kampung Simpang Kiri, Abd. Jalil Abd. Manap 59, berkata, kerja-kerja penambakan tanah turut menjejaskan pendapatan golongan nelayan disebabkan kerja-kerja dilakukan berhampiran dengan sungai.
Tambahnya, kerja-kerja penambakan telah menyebabkan air sungai berbau serta berwarna hitam dan menjejaskan pendapatan harian nelayan yang bergantung kepada hasil tangkapan laut setiap hari.
“Saya bersetuju dengan pemberhentian kerja-kerja penambakan tanah, jika tidak dibendung lebih banyak tempat di Mukim Sungai Karang akan menjadi kawasan aktiviti seperti itu,” tambahnya.
The post 11 lokasi pembuangan sisa binaan Singapura ditutup PBT appeared first on Kosmo Digital.






