Singapura henti hantar sisa bahan binaan

LocalEnvironment
18 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Singapura henti hantar sisa bahan binaan

PONTIAN – Pendedahan Kos­mo! mengenai kehadiran puluhan treler membawa sisa binaan dari Singapura untuk dilupuskan di daerah ini sejak dua tahun lalu sehingga membahayakan nyawa penduduk mendapat perhatian pihak berkuasa negara jiran.

Susulan itu, Singapura mengarahkan semua penghantaran sisa bahan binaan atau Construction and Demolition (C&D) Waste ke Malaysia dihentikan serta-merta.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zai­nal Fitri Ahmad berkata, arahan itu dimaklumkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura kepada beliau semalam.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada Pengarah Kumpulan Sumber dan Kemampanan NEA, Chan Chin Kai bagi membincangkan isu kemasukan dan pelupusan sisa C&D dari Si­ngapura ke Pontian.

“SWCorp Johor menegaskan sebarang kemasukan sisa C&D ke Malaysia perlu mematuhi peraturan dan mendapat kelulusan daripada agensi penguat kuasa berkaitan di negara ini.

“Dalam perbualan itu, SWCorp Johor turut memberikan senarai sembilan syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kemasukan sisa C&D dari Singapura untuk pengesahan dan tindakan lanjut NEA,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, NEA Si­ngapura memaklumkan pihak­nya akan mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat di Seberang Tambak supaya menghentikan penghantaran sisa C&D ke Malaysia.

Image from: Singapura henti hantar sisa bahan binaan
Salah satulokasi yang dijadikan tapak pelupusan bahan binaan dari negara jiran di Pontian.

Selain itu, NEA juga akan me­lakukan semakan dengan pihak berkaitan di negara berkenaan.

“Kami akan terus berhubung dan berkongsi perkembangan terkini dari semasa ke semasa berhubung hasil siasatan dan tindakan susulan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Jelasnya, kerjasama NEA itu sekali gus membuktikan komitmen jitu Singapura untuk menghentikan penghantaran sisa bahan binaan ke negeri ini.

“Kepekaan NEA terhadap isu yang dibangkitkan penduduk Johor amat dihargai, lebih-lebih lagi membabitkan hubungan antara dua negara jiran.

“Kerjasama ini juga memudahkan pihak kami melakukan pencegahan, pemantauan dan mengambil tindakan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), sekiranya ada pihak yang melanggar arahan tersebut,” ujarnya.

Zainal Fitri berkata, tindakan NEA itu diharap dapat membantu merungkai masalah yang didakwa penduduk sudah berlarutan selama hampir dua tahun di Mukim Sungai Karang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 71(1) Akta 672, berban­ding tiga siasatan sebelum ini.

“Bagaimanapun, satu lagi kertas siasatan akan dibuka, tetapi bukan berkaitan sisa bahan binaan, sebaliknya sampah yang cuba dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya tidak dicegah aktiviti itu dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar terutama jika terdapat bahan lain yang dibuang bersama sisa binaan tersebut.

Kosmo! menerusi laporan muka hadapan pada 8 Ogos lalu melaporkan mengenai konvoi treler membawa sisa binaan dari Singapura untuk dibuang di Pontian sejak 2024 bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menyebabkan rumah penduduk retak selain kemalangan.

Pergerakan treler dan kerja-kerja memunggah bahan binaan itu didakwa bermula pada waktu malam hingga awal pagi melibatkan beberapa kawasan termasuk Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.

Penduduk turut mempersoalkan bagaimana kenderaan berat itu boleh melepasi pintu sempadan sebelum menuju ke tapak pelupusan dipercayai milik persendirian menggunakan laluan kampung.

Difahamkan, sisa binaan itu adalah daripada kerja-kerja pe­robohan rumah pangsa lama di Singapura yang dihancurkan menggunakan mesin khas dan dimasukkan dalam treler untuk dibawa ke negeri ini untuk dilupuskan.

Isu itu pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Pontian dan mesyuarat khas melibatkan beberapa jabatan dan agensi sebelum ini, namun kegiatan tersebut didakwa masih berterusan.

Satu sumber mendakwa ke­giatan itu semakin berleluasa kerana terdapat pemilik tanah yang dipercayai menerima bayaran sehingga RM15,000 untuk menyediakan tapak bagi tujuan tersebut.

Selain tuan tanah, broker atau orang tengah yang terlibat dalam rundingan itu turut menerima upah lumayan pada kadar sama.

The post Singapura henti hantar sisa bahan binaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved