11 pendaki terperangkap dalam terowong

LocalTravel
8 May 2026 • 9:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 11 pendaki terperangkap dalam terowong
Anggota bomba menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam terowong di sini pada Jumaat.

GOMBAK – Seramai 11 pendaki yang terperangkap di dalam terowong akibat arus deras di Sungai Pisang Waterfall Trailhead di sini berjaya diselamatkan pasukan bomba pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.11 petang.

"Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Mukhlis berkata, pengadu memaklumkan sekumpulan pendaki terdiri daripada 11 individu termasuk enam wanita berusia 22 hingga 24 tahun terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras.

“Mereka dipercayai tidak dapat menyeberang kerana laluan terhalang, kesemua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 5.15 petang.

"Operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali penyelamatan dan peralatan Personal Flotation Device (PFD) bagi membantu mangsa keluar dari kawasan berisiko," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba turut melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya atau mangsa lain yang terlibat.

"Operasi terkawal pada jam 6.31 petang sebelum ditamatkan pada jam 7.02 malam," katanya.