Projek hartanah perindustrian jadi pemacu baharu Mah Sing, MBSB Research optimis jualan segmen capai 30%

19 Nov 2026 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek hartanah perindustrian jadi pemacu baharu Mah Sing, MBSB Research optimis jualan segmen capai 30% Image from: Projek hartanah perindustrian jadi pemacu baharu Mah Sing, MBSB Research optimis jualan segmen capai 30% liza19/11/2026 - 09:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Segmen hartanah perindustrian dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu Mah Sing Group Berhad dengan sumbangannya kepada jumlah jualan kumpulan berpotensi meningkat sehingga 30% apabila lebih banyak projek dilancarkan.

 

MBSB Research berkata, perkembangan itu akan melengkapi prestasi segmen kediaman Mah Sing yang kekal stabil, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan jualan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prospek berkenaan disokong perkembangan MS Industrial Park @ Kulai di Johor yang mencatatkan sambutan menggalakkan susulan pelancaran fasa pertamanya.

 

Projek berkenaan merupakan pembangunan perindustrian keenam Mah Sing selepas kejayaan menyiapkan lima taman perindustrian di bawah siri i-PARC di Subang, Bukit Jelutong, Shah Alam dan Tanjung Pelepas.

 

Sambutan menggalakkan di Kulai

MS Industrial Park @ Kulai dibangunkan menerusi M Industrial Development Sdn Bhd, usaha sama antara Mah Sing yang memegang 60% kepentingan dan KLK Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan pegangan 40%.

 

Projek seluas 169.26 hektar (418.17) ekar itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.26 bilion manakala fasa pertama yang dilancarkan mempunyai GDV sebanyak RM372 juta.

 

MBSB Research berkata, sebanyak 118 unit kilang dalam fasa 1A dan 1B telah habis dijual, dengan pembangunan itu menawarkan kilang berkembar dua tingkat dan kilang pada harga antara RM3 juta hingga RM5 juta seunit. Kebanyakan pembeli terdiri daripada pembeli tempatan.

 

Susulan sambutan tersebut, pihak pengurusan Mah Sing merancang mempercepatkan pelancaran fasa kedua MS Industrial Park @ Kulai kepada suku pertama 2027 (1QCY27), berbanding jadual asal.

 

Permintaan disokong pertumbuhan industri Johor

Menurut MBSB Research, lokasi strategik projek berkenaan di Kulai dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) menjadi antara faktor yang menyokong prospek permintaan hartanah perindustrian di kawasan itu.

 

“Permintaan turut disokong pertumbuhan beberapa sektor utama termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman halal, aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI) serta sektor perubatan dan farmaseutikal.

 

“Perkembangan pesat pusat data di Johor meningkatkan keperluan terhadap ruang pembuatan dan penyimpanan dalam kalangan pembekal hiliran, khususnya pengeluar rak pelayan, sistem paip dan komponen berkaitan,” katanya.

 

Sehubungan itu, MBSB Research menjangkakan segmen perindustrian Mah Sing meningkatkan sumbangannya kepada jumlah jualan kumpulan secara berperingkat sehingga 30% apabila lebih banyak projek diperkenalkan.

 

Kekalkan saranan beli, harga sasaran RM1.15

Dalam perkembangan berkaitan, MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Mah Sing dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.15, berdasarkan diskaun 55% kepada nilai aset bersih boleh direalisasikan (RNAV).

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Mah Sing bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26-FY28), dengan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Core PATAMI) diunjurkan meningkat kepada RM279 juta pada FY26, RM307 juta pada FY27 dan RM323 juta pada FY28.

 

MBSB Research menganggarkan potensi kenaikan harga saham sebanyak 42.9%, selain hasil dividen 6.2%, menjadikan jumlah potensi pulangan sebanyak 49.1%.

 

Firma itu berpandangan penilaian saham Mah Sing ketika ini menarik memandangkan saham syarikat didagangkan pada diskaun 49% kepada nilai aset ketara sesaham (NTA) terkini sebanyak RM1.59, meskipun prospek jualan kekal stabil dan pendedahan kepada segmen perindustrian semakin meningkat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved