
PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan air sekiranya paras empangan terus menunjukkan trend penurunan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, semua loji rawatan air (LRA) yang dipantau di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan ketika ini masih beroperasi secara normal.
SPAN memaklumkan, berdasarkan pemantauan semasa, sebanyak 12 daripada 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada LRA berada pada tahap Waspada hingga Kritikal.
“Daripada jumlah itu, dua empangan berada pada tahap Waspada, sembilan pada tahap Amaran dan satu pada tahap Kritikal, manakala baki 37 empangan berada pada tahap Normal.
“Dua empangan yang berada pada tahap Waspada ialah Empangan Jus, Melaka dan Empangan Labong, Johor.
“Sembilan empangan pada tahap Amaran pula melibatkan Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah; Empangan Upper Layang, Lower Layang, Lebam, Gunung Pulai 1, Gunung Pulai 2 serta Pontian Kechil di Johor dan Empangan Timah Tasoh di Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPAN, Empangan Timah Tasoh yang sebelum ini lama berada pada tahap Kritikal menunjukkan peningkatan kepada tahap Amaran susulan sedikit hujan serta pelaksanaan pengepaman air dari kolam ke empangan.
“Langkah itu membantu meningkatkan isipadu simpanan air di empangan berkenaan.
“Sementara itu, Empangan Sungai Pagar di Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu-satunya empangan yang kini berada pada tahap Kritikal,” katanya.
SPAN berkata, pihaknya bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kecemasan dan Kesediaan Risiko bersama semua operator bekalan air terlibat pada 26 Ogos lalu.
Mesyuarat itu diadakan bagi meneliti situasi semasa sumber air mentah selain memperkukuh penyelarasan tindakan kesiapsiagaan serta langkah mitigasi, terutama membabitkan empangan yang menunjukkan trend penyusutan atau berada pada tahap Waspada, Amaran dan Kritikal.
Antara langkah diberi perhatian ialah mengoptimumkan penggunaan sumber air mentah, menyelaras pengoperasian empangan dan LRA serta mengaktifkan sumber alternatif bergantung kepada keperluan.
“Selain itu, permintaan bekalan air di kawasan berisiko akan dipantau, manakala Bekalan Air Berjadual (BAB) boleh dilaksanakan sekiranya keadaan sumber air mentah terus merosot.
“Dalam keadaan lebih kritikal, sekatan atau pengurangan bekalan air kepada pengguna boleh dipertimbangkan sebagai langkah mengurus permintaan, tertakluk kepada keperluan atau situasi semasa serta kelulusan Menteri.
“Langkah itu hanya akan dipertimbangkan apabila tindakan mitigasi dan pengurusan sumber lain tidak lagi mencukupi bagi memastikan tempoh ketahanan sumber air mentah dapat dipanjangkan,” katanya.
Dalam menghadapi kemungkinan fenomena El Nino, SPAN akan terus meningkatkan pemantauan serta penilaian risiko berdasarkan keadaan cuaca, trend paras empangan, ketersediaan sumber air mentah dan keupayaan operasi LRA.
“Segala tindakan mitigasi akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keadaan serta tahap risiko di setiap kawasan,” katanya. –UTUSAN
The post 12 empangan utama di tahap Waspada hingga Kritikal appeared first on Utusan Malaysia.





