Sembilan empangan tahap amaran, satu kritikal akibat El Nino

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 5:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sembilan empangan tahap amaran, satu kritikal akibat El Nino

PETALING JAYA – Sebanyak sembilan empangan utama di Semenanjung kini berada pada tahap amaran manakala satu lagi merekodkan tahap kritikal susulan keadaan sumber air mentah yang terjejas dalam menghadapi fenomena El Nino.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan, daripada keseluruhan 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA), sebanyak 37 empangan masih berada pada tahap normal manakala dua lagi berada pada tahap waspada.

Menurut SPAN, dua empangan pada tahap waspada ialah Empangan Jus di Melaka dan Empangan Labong, Johor.

“Sembilan empangan pada tahap amaran pula melibatkan Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah serta Empangan Upper Layang, Lower Layang, Lebam, Gunung Pulai 1, Gunung Pulai 2 dan Pontian Kechil di Johor.

“Empangan Timah Tasoh di Perlis turut berada pada tahap amaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPAN berkata, Empangan Timah Tasoh yang sebelum ini sudah lama berada pada tahap kritikal menunjukkan peningkatan susulan sedikit hujan yang diterima selain pelaksanaan pengepaman air dari kolam ke empangan.

Langkah tersebut membantu meningkatkan isipadu simpanan air di empangan berkenaan.

Sementara itu, Empangan Sungai Pagar di Wilayah Persekutuan Labuan kini menjadi satu-satunya empangan yang berada pada tahap kritikal.

Susulan keadaan itu, SPAN bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kecemasan dan Kesediaan Risiko bersama semua operator bekalan air terlibat pada 26 Ogos lalu.

Mesyuarat berkenaan antara lain meneliti keadaan semasa sumber air mentah selain memperkukuh penyelarasan langkah kesiapsiagaan dan mitigasi khususnya membabitkan empangan yang menunjukkan trend penyusutan.

Antara langkah diberi perhatian termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber air mentah, penyelarasan operasi empangan dan LRA serta pengaktifan sumber alternatif mengikut keperluan.

Selain itu, pemantauan permintaan bekalan air akan dipertingkatkan di kawasan berisiko termasuk kemungkinan pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) sekiranya keadaan sumber air mentah terus merosot.

SPAN berkata, dalam keadaan lebih kritikal, sekatan atau pengurangan bekalan air kepada pengguna juga boleh dipertimbangkan bagi menguruskan permintaan tertakluk kepada situasi semasa dan kelulusan Menteri.

Bagaimanapun, langkah tersebut hanya akan dipertimbangkan sekiranya tindakan mitigasi dan pengurusan sumber lain tidak lagi mencukupi bagi memanjangkan tempoh ketahanan sumber air mentah.

“Secara keseluruhannya, kesemua LRA yang dipantau masih beroperasi secara normal.

“Walaupun begitu, SPAN tidak menolak sebarang risiko gangguan bekalan air sekiranya paras empangan terus menunjukkan trend penurunan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sembilan empangan tahap amaran, satu kritikal akibat El Nino appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved