120 kenderaan dilelong JPJ, Yamaha Lagenda hanya RM101

LocalCars
19 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 120 kenderaan dilelong JPJ, Yamaha Lagenda hanya RM101

PETALING JAYA – Sebanyak 120 daripada 157 kenderaan sita Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) berjaya dilelong menerusi Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJvBID Bil. 2/2026 pada 16 Oktober lalu.

Lelongan tersebut merekodkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM376,091, sekali gus mengatasi kutipan yang dicatatkan pada lelongan sebelum ini.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, lelongan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 95 pembida menyertainya dengan jumlah bidaan keseluruhan sebanyak RM334,041.

Menurutnya, daripada 157 kenderaan yang ditawarkan, sebanyak 137 merupakan kenderaan boleh dilesenkan, manakala 20 lagi tidak boleh dilesenkan.

“Sebanyak 120 kenderaan berjaya dilelong, bersamaan lebih 76 peratus daripada keseluruhan kenderaan yang ditawarkan, manakala 37 kenderaan tidak berjaya dilelong.

“Bidaan tertinggi direkodkan ialah RM73,333 bagi sebuah Toyota Alphard, manakala bidaan terendah ialah RM101 bagi sebuah motosikal Yamaha Lagenda kategori kenderaan lusuh (scrap),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kutipan hasil lelongan turut disumbangkan oleh jualan 693 unit e-Katalog yang menjana RM34,650, selain kutipan fi lelongan sebanyak RM7,400 menerusi 740 transaksi pembayaran fi sepanjang tempoh berkenaan.

Hamidi berkata, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan sistem JPJvBID sebagai platform lelongan digital yang telus, cekap dan mudah diakses oleh orang ramai.

“Pelaksanaan inisiatif pendigitalan ini bukan sahaja memperkemas pengurusan kenderaan sita, malah membantu meningkatkan kutipan hasil kerajaan melalui proses yang lebih sistematik, berintegriti dan berdaya saing.

“JPJ WPKL akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang efisien, telus dan berorientasikan pelanggan selaras dengan aspirasi transformasi digital perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembida, urus setia serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan lelongan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post 120 kenderaan dilelong JPJ, Yamaha Lagenda hanya RM101 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved