
KUALA LUMPUR – Seramai 25 pemandu kenderaan perdagangan gagal dalam ujian saringan air sepanjang pelaksanaan Operasi Bersepadu Dadah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sehingga September ini.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, jumlah itu melibatkan 23 pemandu kenderaan barangan, seorang pemandu kenderaan pelancongan dan seorang pemandu kenderaan perkhidmatan awam.
“Seramai 341 pemandu telah menjalani saringan air kencing sepanjang Operasi Bersepadu Dadah dijalankan bagi tempoh sehingga September ini.
“Daripada jumlah itu, 25 pemandu gagal dalam ujian saringan air kencing pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi terbaharu yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur di Plaza Tol Duta pada Selasa dan Rabu lalu, dua daripada 48 pemandu yang menjalani saringan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut.
“Berdasarkan hasil siasatan, tindakan lanjut boleh diambil di bawah Seksyen 6(1)(a) atau Seksyen 6(1)(b) akta sama.
“Sekiranya individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan yang ditetapkan, JPJ akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menggantung lesen memandu individu berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, operasi tersebut yang melibatkan 38 anggota JPJ WPKL dan AADK Kuala Lumpur turut memeriksa sebanyak 275 kenderaan perdagangan.
Hamidi berkata, sebanyak 43 kenderaan diambil tindakan manakala 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan di bawahnya.
“Sejumlah enam kesalahan tidak mempunyai lesen memandu kompeten, tiada lesen kenderaan barang-barang (6), lesen kenderaan motor tamat tempoh (5) dan perlindungan insurans tamat tempoh (2).
“Turut dikesan tujuh kesalahan berkaitan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tayar tidak diselenggara dengan baik (10), cermin gelap (11) serta kenderaan tidak diselenggara dengan baik (15),” ujarnya.
Hamidi berkata, JPJ WPKL memandang serius penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu, khususnya mereka yang mengendalikan kenderaan perdagangan dan membawa tanggungjawab besar terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pemandu yang mengabaikan undang-undang atau memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 25 pemandu positif dadah, ‘pilot darat’ paling ramai appeared first on Kosmo Online.





