13 Ditahan Bantu Siasatan Kes Kematian Remaja Perempuan Di Kulai

28 Aug 2026 • 8:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

13 Ditahan Bantu Siasatan Kes Kematian Remaja Perempuan Di Kulai

JOHOR BAHRU - Polis menahan 13 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kejadian serangan di Kulai, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki lima individu termasuk mangsa, kira-kira jam 12.38 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan rakan-rakannya baru selesai makan malam dan dalam perjalanan pulang dari Jalan Kenanga, Indahpura menuju ke rumah masing-masing apabila kenderaan dinaiki mangsa diekori beberapa kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam.

“Apabila tiba di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire berkenaan menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa kemudian dilanggar Toyota Vellfire berkenaan sebelum kenderaan itu melarikan diri dari lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang tidak lagi bersekolah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

“Polis pada awalnya menjalankan siasatan sebagai kes kemalangan sebelum mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh susulan penahanan kesemua suspek.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pertikaian keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru. Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis menjalankan beberapa serbuan di Johor Bahru dan Selangor sebelum menahan kesemua 13 suspek berusia antara 15 hingga 31 tahun, termasuk remaja perempuan berusia 15 tahun yang tidak lagi bersekolah.

Polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah Kia Forte berwarna hitam, Toyota Vellfire berwarna hitam, Toyota Hilux berwarna kelabu, sebatang kayu pemukul besbol berwarna hitam dan sebatang baton berwarna hitam.

“Siasatan mendapati sembilan daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif dadah.

“Kesemua suspek direman antara kelmarin dan 3 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya. - Getaran, 28 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved