
TAWAU: Seorang pegawai trafik udara berusia 55 tahun maut selepas hilang kawalan motosikal ditunggangnya ketika melalui permukaan jalan tidak rata, sebelum terjatuh dan terperosok di bawah sebuah kereta sedan di Batu 3, Jalan Apas, kira-kira 6 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata mangsa, yang bertugas sebagai pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Dalam kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala yang menyebabkan kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ, manakala sebuah Toyota Camry dipandu lelaki berusia 28 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dalam arah sama, dengan kereta berkenaan dari Kampung Titingan menuju Batu Payung, manakala mangsa dari bandar Tawau menuju Taman Millennium.
“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Batu 3, penunggang motosikal dan pemandu kereta meneruskan perjalanan secara perlahan selepas lampu isyarat bertukar hijau.
“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa, yang dipercayai bergerak seiring dengan kereta berkenaan, disyaki tiba-tiba hilang imbangan selepas melalui permukaan jalan tidak rata di lokasi itu,” katanya.
Rosdi berkata pemeriksaan mendapati lorong kanan jalan dua lorong itu baru diturap dan berada pada aras lebih tinggi berbanding lorong kiri yang lebih rendah dan masih belum diturap.
Katanya, siasatan awal polis mendapati keadaan jalan berkenaan berkemungkinan menyebabkan motosikal mangsa hilang imbangan sebelum terjatuh di hadapan kereta sedan.
“Pemandu Toyota Camry tidak sempat memberhentikan kenderaan kerana jarak yang terlalu dekat, menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tersepit di bawah bahagian hadapan sedan,” katanya.






