
SURABAYA: Aktiviti pelancongan di kawasan Gunung Bromo, Jawa Timur, akan dibuka semula esok selepas operasi menangani kebakaran hutan dan tanah di kawasan berkenaan selesai.
Pejabat Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan penilaian terhadap keadaan kawasan selepas kebakaran.
Ketua Pejabat TNBTS, Rudijanta Tjahta Nugraha, berkata pembukaan semula itu mengambil kira aspek keselamatan pengunjung dan petugas.
“Dengan mengambil kira keselamatan pengunjung dan petugas, kawasan Bromo akan dibuka semula untuk aktiviti pelancongan pada Khamis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TNBTS memaklumkan tempahan tiket dibuka mulai Rabu menerusi laman web taman negara itu, dengan kuota pelancong dihadkan kepada 2,752 orang sehari.
Sebelum ini, semua akses masuk pelancong ke kawasan Bromo, termasuk Cemorolawang di Kabupaten Probolinggo, Wonokitri di Kabupaten Pasuruan, Jemplang dan Coban Trisula di Kabupaten Malang serta Senduro di Kabupaten Lumajang, ditutup sementara susulan kebakaran hutan dan tanah yang semakin buruk pada 8 Ogos lalu.
Nugraha berkata pembukaan semula itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pematuhan pengunjung terhadap peraturan dan arahan petugas di lapangan serta komitmen menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Pengunjung dilarang melakukan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, termasuk menyalakan unggun api atau membuang puntung rokok dan bahan lain yang berpotensi menjadi punca nyalaan.
Nugraha memaklumkan kebakaran di kawasan Gunung Bromo berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh 13 hari selepas tercetus.- ANTARA
The post 13 hari ditutup, Gunung Bromo kembali terima pelancong esok appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Hutan terbakar, asap tebal selubungi sekitar bangunan JAIS](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-17-at-6.05.09-PM-1024x688.jpeg)

