JOHOR BAHRU - Seramai 13 lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes balingan bom petrol atau molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 31 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar bandar raya sejak empat harian lalu.
Jelasnya, hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
"Polis turut merampas 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian dan tiga topi besbol daripada semua suspek bagi membantu siasatan.
"Kesemua suspek telah dibenarkan menjalani tahanan reman oleh mahkamah bagi tempoh berbeza.
“Empat suspek direman selama lapan hari termasuk lanjutan reman bermula 14 hingga 21 Oktober, manakala empat lagi direman selama tujuh hari termasuk lanjutan reman dari 15 hingga 21 Oktober.
“Seorang suspek pula direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober, sementara empat lagi direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Oktober,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ab Rahaman berkata, polis Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negeri ini.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira kedudukan atau status individu yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi talian hotline Polis Johor di 019-279 2095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di 07-221 2999.






