13 lelaki ditahan baling bom petrol di penempatan Rohingya

19 Oct 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 13 lelaki ditahan baling bom petrol di penempatan Rohingya

JOHOR BAHRU – Seramai 13 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 31 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes membaling bom petrol atau molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai, baru-baru ini.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula 14 hingga 18 Oktober lalu di sekitar Johor Bahru hasil maklumat diterima pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Semakan rekod mendapati empat daripada 13 suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Polis turut merampas 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian dan tiga topi besbol daripada semua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat suspek direman selama lapan hari termasuk reman lanjutan bermula 14 hingga 21 Oktober, manakala empat lagi direman selama tujuh hari termasuk reman lanjutan dari 15 hingga 21 Oktober.

Seorang lagi suspek direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober, sementara empat suspek selebihnya direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Oktober ini.

Ab Rahaman menegaskan Polis Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negeri ini.

Katanya, siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira kedudukan atau status individu yang terlibat.-KOSMO! ONLINE

The post 13 lelaki ditahan baling bom petrol di penempatan Rohingya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved