AMPANG - Seramai 13 lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.01 tengah malam itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di tokong itu bertindak meleraikan pergaduhan berkenaan.
"Anggota Rela turut merampas dua objek dipercayai digunakan dalam kejadian itu, iaitu sebatang cota besi dan kayu besbol," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Khairul Anuar berkata, pihak pengurusan tokong kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
“Kesemua mereka berusia 15 hingga 20 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
"Orang ramai khususnya golongan remaja dinasihatkan supaya mengelakkan pergaduhan dan provokasi serta tidak menggunakan senjata atau objek berbahaya.
"Pada masa sama, ibu bapa diminta memantau pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.






