BUTTERWORTH – Enam lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah kedai tayar di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren di sini pada Isnin bagi membantu siasatan kes penderaan seorang wanita warga Indonesia di Selangor.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
Menurutnya, serbuan berkenaan turut mendapat bantuan pasukan forensik JSJ IPK Pulau Pinang.
“Operasi itu dijalankan susulan laporan polis di Tanjong Sepat berhubung kes seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai didera majikannya.
“Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah lokasi di Jalan Besar, Kampung Tumbok, Tanjong Sepat, Selangor pada 16 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Siti Rohaya dilaporkan mengalami kecederaan melecur di seluruh badan akibat kejadian berkenaan.
Katanya, enam lelaki ditahan dalam operasi itu termasuk majikan mangsa, namun identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).






