13 Lembu 'Dikebas', Penternak Rugi RM35,000

8 Aug 2023 • 1:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kehilangan semua lembu itu disedari mangsa sekitar 7 malam Ahad lepas - gambar hiasan

KUANTAN - Seorang penternak kerugian RM35,000 selepas 13 lembu miliknya dicuri di Felda Sungai Koyan 1, Kuala Lipis, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kehilangan haiwan itu disedari lelaki berusia 37 tahun berkenaan sekitar 7 malam sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Beliau berkata mangsa mula mengesyaki haiwan ternakannya dicuri selepas menjumpai empat lembunya pengsan disyaki disuntik ubat pelali.

Katanya penternak itu kemudian meminta bantuan daripada kenalannya dan telah menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan terdapat lembu hendak dijual di sebuah kandang di Kampung Paya Gunung, Jerantut Ferry, Jerantut.

"Berdasarkan gambar yang diberikan, penternak itu mengesyaki ia adalah lembu miliknya sebelum pergi ke lokasi berkenaan (Kampung Paya Gunung) semalam.

"Apabila tiba di situ, penternak berkenaan mendapati beberapa lembu di dalam kawasan kandang tersebut adalah miliknya berdasarkan saiz, muka dan tanda khas pada telinga haiwan itu sebelum memaklumkan kepada polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata susulan itu, polis menahan empat lelaki berusia 27 hingga 48 tahun termasuk dua beradik yang sedang berurusan untuk menjual dan membeli haiwan itu di kandang lembu Kampung Paya Gunung, semalam.

Beliau berkata adik-beradik itu yang merupakan pemilik kandang berkenaan didapati memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

Dua lagi lelaki yang dipercayai pencuri lembu pula mempunyai rekod berkaitan dadah, cuba mencuri haiwan serta broker penjualan lembu.

Katanya kesemua mereka sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi. - BERNAMA