13 LRA di Johor berisiko terjejas Super El Nino

LocalEnvironment
23 Nov 2026 • 10:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 13 LRA di Johor berisiko terjejas Super El Nino
Mohamad Fazli ketika menjawab soalan lisan di Dewan Undangan Negeri Johor.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) di lima daerah dikenal pasti berisiko mengalami kekurangan sumber air mentah susulan fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara sehingga awal tahun depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kawasan berkenaan membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi tempoh November 2026 hingga Jun 2027 dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurutnya, operasi itu akan memberi keutamaan kepada kawasan tadahan yang membekalkan sumber air kepada 13 LRA berkenaan bagi membantu meningkatkan taburan hujan sebelum paras sumber air menyusut lebih serius.

"Ketika Monsun Timur Laut pada November, Disember dan Januari, kerajaan negeri mencadangkan pelaksanaan OPA secara mingguan mengikut kesesuaian cuaca.

"Selepas tempoh itu, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan keadaan atmosfera dan keperluan sumber air semasa," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Yak Howe (Bentayan - Pakatan Harapan) mengenai persediaan dan pelan kontingensi kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air bersih dan elektrik kekal mencukupi sekiranya fenomena Super El Nino

Mohamad Fazli (Bukit Pasir- Barisan Nasional) berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa langkah mitigasi bagi memperkukuh sumber air mentah termasuk pemindahan air Seluyut-Layang berkapasiti sehingga 300 juta liter sehari (JLH).

Selain itu, pemindahan air dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam serta pengepaman tambahan bagi menyokong sumber air di Empangan Machap, Empangan Sembrong dan LRA Lok Heng turut dilaksanakan.

Katanya, sumber alternatif daripada bekas kolam lombong, tasik dan kuari di kawasan Layang-Layang, Gunung Pulai, Sayong dan Sembrong juga dikenal pasti untuk digunakan tertakluk kepada kesesuaian teknikal serta keputusan ujian kualiti air.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan 38 lori tangki dan 283 tangki statik di sembilan daerah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air.

"Bekalan Air Berjadual (BAB) hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah terakhir sekiranya semua langkah mitigasi sumber air mentah masih tidak mencukupi," katanya.

Menurut, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), fenomena Super El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka menyebabkan cuaca panas kering berpanjangan serta memanjangkan risiko jerebu sehingga Mei 2027.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved