
KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dalam pilihan raya negeri (PRN) sepanjang 2026 memperlihatkan perubahan ketara dalam landskap politik tanah air, sekali gus menghidupkan semula naratif gelombang biru yang sekian lama menjadi harapan parti itu untuk kembali mengukuhkan pengaruh di peringkat nasional.
Kejayaan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, diikuti kemenangan bersama Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 25 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan dan 24 daripada 28 kerusi di Melaka, memberikan gambaran perubahan penjajaran politik mampu menghasilkan keputusan berbeza berbanding pilihan raya sebelumnya.
Pun begitu, kemenangan tersebut tidak boleh sesekali dibaca sebagai jalan mudah bagi BN dan PN menuju Putrajaya sudah terbuka luas. Ini kerana dimensi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih besar kerana melibatkan 222 kerusi Parlimen, persaingan parti-parti nasional, pengaruh tokoh utama serta corak pengundian yang berbeza mengikut negeri dan kawasan.
Perbandingan keputusan pilihan raya terdahulu menunjukkan perubahan sokongan yang ketara. Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) (12), PN (3) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (1).
Empat tahun kemudian, BN meningkatkan penguasaannya kepada 48 kerusi, manakala PH tinggal lapan dan PN gagal memenangi sebarang kerusi.
Keputusan itu menunjukkan BN bukan sahaja berjaya mempertahankan kubu tradisi, malah merampas beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai PH dan PN. Kemenangan di Johor dicapai tanpa kerjasama pilihan raya dengan PN, berbeza pendekatan yang digunakan di Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Negeri Sembilan, perubahan penjajaran politik memberikan kesan lebih jelas. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN (14) dan PN (5). Ketika itu, PH dan BN membentuk kerajaan negeri bersama. Bagaimanapun, keputusan PRN 2026 menyaksikan BN memperoleh 18 kerusi, PN tujuh manakala PH merosot kepada 11 kerusi.
Melaka pula memperlihatkan BN mengekalkan 21 kerusi seperti diperoleh dalam PRN 2021, manakala PN meningkat daripada dua kepada tiga kerusi. PH berkurangan daripada lima kepada empat. Secara keseluruhan, BN dan PN menguasai 24 kerusi berbanding 23 kerusi yang diperoleh kedua-duanya secara berasingan pada 2021.
Perbandingan ini memperlihatkan kerjasama politik membantu mengelakkan pertembungan sesama sendiri tetapi tidak semestinya menghasilkan pertambahan sokongan yang besar dalam setiap keadaan.
Di Melaka, misalnya, gabungan itu hanya memperoleh tambahan satu kerusi berbanding jumlah kemenangan BN dan PN sebelum ini. Justeru, kemenangan besar perlu dinilai terhadap perubahan undi dan penerimaan pengundi terhadap parti yang bekerjasama.
Cabaran sebenar akan bermula apabila persaingan beralih ke gelanggang nasional. Kuala Lumpur dan Selangor khususnya mempunyai corak politik tersendiri dengan pengaruh PH yang kuat di beberapa kawasan bandar.
Dalam PRU15, PH menguasai hampir keseluruhan kerusi Parlimen Kuala Lumpur. Keadaan ini menunjukkan kejayaan BN di selatan tidak semestinya mudah diterjemahkan di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi dan kecenderungan politik berbeza.
Selain persaingan parti, BN juga masih perlu berdepan beban persepsi yang telah lama membelenggu imejnya. Istilah ‘sakau’ yang sering digunakan dalam perbualan politik dan media sosial menggambarkan tanggapan sebahagian masyarakat terhadap BN, khususnya berkaitan kontroversi rasuah dan salah guna kuasa pernah mencemarkan imej kepimpinan terdahulu.
Persepsi sedemikian tidak mudah dihapuskan hanya dengan kemenangan pilihan raya. BN perlu membuktikan parti itu benar-benar berubah melalui ketelusan, integriti dan prestasi pentadbiran. Selagi tanggapan lama masih kuat, maka selagi itulah kejayaan menguasai kerusi negeri belum tentu dapat memulihkan keyakinan semua lapisan masyarakat.
Dalam masa sama, pengundi muda dan kelompok atas pagar menjadi antara cabaran penting yang tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana mereka tidak lagi mewarisi sokongan daripada ibu bapa, sebaliknya mempunyai bacaan politik tersendiri dengan melihat tawaran sesebuah parti politik.
Mereka lebih ‘nampak’ isu pekerjaan, gaji, kos sara hidup, perumahan dan peluang membina kehidupan lebih baik menjadi pertimbangan sebelum memangkah kertas undi.
Beberapa polemik berkaitan titah Sultan, kedudukan institusi raja-raja Melayu dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mencetuskan perdebatan serta rasa tidak senang dalam kalangan sebahagian masyarakat, khususnya apabila sesuatu kenyataan atau tindakan ditafsirkan sebagai mencabar kedudukan institusi berkenaan.
Isu seperti ini boleh mempengaruhi penilaian pengundi terutamanya Melayu tetapi BN perlu berhati-hati agar tidak sekadar menjadikannya modal politik. Kerana itu apabila mengkritik pastikan berasaskan fakta dan konteks sebenar.
Pada masa sama, parti itu perlu menunjukkan penghormatan terhadap institusi raja-raja Melayu, Perlembagaan dan kepentingan rakyat turut diterjemahkan melalui tindakan serta rekodnya sendiri.
SEMAKIN SOMBONG
Satu hal yang ketara kemenangan BN di tiga negeri ini mula memperlihatkan wajah yang lebih yakin tetapi sombong. Kejayaan menguasai Johor, Negeri Sembilan dan Melaka membuatkan BN percaya gelombang biru sudah kembali dan negeri-negeri lain hanya menunggu masa untuk ditawan.
Pesan saya, jangan terlalu cepat rasa besar dan terlalu dibuai angan-angan kerana pengundi yang mengangkat sesebuah parti ke puncak juga boleh menjadi pihak yang menurunkannya.
Perjalanan menuju PRU16 bukan hanya bergantung pada kekuatan BN tetapi turut menguji sejauh mana parti itu mampu mengekalkan kerjasama dengan PN. Sentiasa ingat sejarah Muafakat Nasional (MN) yang gagal di tengah jalan kerana masing-masing mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri di peringkat nasional.
Apabila menyebut soal PRU, pastinya isu menguasai kawasan tradisi, kedudukan pemimpin dan kepentingan parti masing-masing boleh membuka ruang kepada pertindihan tuntutan.
Jadi, jika BN mahu terus membirukan peta Semenanjung Malaysia, masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Parti itu bukan sahaja perlu mengukuhkan kerjasama politik tetapi juga memulihkan keyakinan masyarakat terhadap imejnya, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan kelompok atas pagar.
Kelemahan pihak lawan mungkin membuka ruang, namun BN tidak boleh bergantung kepada kesilapan orang lain untuk membina kekuatannya sendiri. BN perlu sedar, musuh kepada kekuatan gabungan itu bukan hanya parti lawan tetapi juga sikap terlalu yakin dan percaturan sendiri yang boleh memakan diri. -UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.
The post BN jangan lupa diri, gelombang biru belum pasti jadi tsunami appeared first on Utusan Malaysia.






