13 permohonan ditolak! JPPM sahkan tiada pertubuhan Rohingya diluluskan di Malaysia

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 9:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan tidak pernah meluluskan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan komuniti Rohingya di negara ini, meskipun sebanyak 13 permohonan pernah dikemukakan sebelum ini.

Semua permohonan ditolak

Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad menyatakan, berdasarkan rekod jabatan, kesemua permohonan berkenaan yang dibuat mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah ditolak.

Menurutnya, pematuhan terhadap syarat pendaftaran sahaja tidak menjamin sesebuah pertubuhan mendapat kelulusan kerana setiap permohonan perlu melalui penelitian mendalam oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Setiap permohonan pendaftaran pertubuhan yang diterima akan diteliti dan dipertimbangkan sewajarnya berdasarkan peruntukan Akta 832 serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Penilaian turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk matlamat penubuhan, kandungan perlembagaan serta faktor lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gagal patuhi keperluan dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang

Dalam pada itu, Mohd Zulfikar memberi amaran bahawa mana-mana pertubuhan yang gagal mematuhi keperluan pendaftaran boleh dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang, manakala individu yang terlibat dalam pengurusannya boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“JPPM menegaskan pelaksanaan pemantauan, pemeriksaan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan adalah berlandaskan maklumat, fakta serta hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tanpa dipengaruhi semata-mata oleh latar belakang etnik, kewarganegaraan atau status pelarian individu yang terbabit,” katanya.

Image from: 13 permohonan ditolak! JPPM sahkan tiada pertubuhan Rohingya diluluskan di Malaysia

Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga November 2026, JPPM telah mengendalikan sebanyak 17 Kertas Siasatan (KSP) membabitkan 38 suspek atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Antara kesalahan yang disiasat termasuk mengemukakan dokumen palsu atau tidak benar, menjalankan aktiviti pertubuhan tanpa pendaftaran sah, menggunakan lambang tidak diluluskan serta memegang jawatan dalam pertubuhan tanpa kelayakan.

“Sebagai contoh, satu kes membabitkan 16 warga asing daripada komuniti Rohingya yang dikaitkan dengan pertubuhan tidak berdaftar disabitkan kesalahan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 19 November 2025 mengikut Seksyen 42 Akta 832.
“Selain itu, pada 30 September 2026, pengasas dan pengerusi Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta 832 berhubung kegiatan pertubuhan tidak berdaftar,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran sesebuah pertubuhan sebelum menyertai aktiviti, menjalankan urusan atau menyalurkan sumbangan.

Sumber:Harian Metro (Nurul Husna Mahmud)  JPPM Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved