132,400 Rohingya dalam rekod UNHCR, KDN ambil alih pendaftaran secara berperingkat

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 11:00 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Seramai 132,400 pelarian etnik Rohingya direkodkan berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat 30 September 2026.

Image from: 132,400 Rohingya dalam rekod UNHCR, KDN ambil alih pendaftaran secara berperingkat

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka itu merupakan sebahagian daripada 205,273 pelarian dari Myanmar yang berdaftar dengan UNHCR. Secara keseluruhan, rekod UNHCR menunjukkan seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di negara ini.

Selangor merekodkan bilangan pemegang kad UNHCR tertinggi di Semenanjung, iaitu 74,028 orang, diikuti Kuala Lumpur (47,333) dan Pulau Pinang (25,357).

“Taburan ini merujuk kepada keseluruhan pemegang kad UNHCR dan bukan khusus kepada etnik Rohingya.
“Sementara itu, sehingga 31 Oktober 2026, daripada keseluruhan 11,208 tahanan warganegara Myanmar di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung, seramai 6,294 orang ialah etnik Rohingya,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

Menjawab soalan mengenai rekod jenayah dan pemalsuan kad UNHCR, Saifuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 199 kes jenayah indeks membabitkan pelarian Myanmar bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.

Bagi pemalsuan dokumen pula, satu kes direkodkan di Kuala Lumpur membabitkan enam warga Myanmar yang kesemuanya telah didakwa di mahkamah.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pada 1 Januari 2026 bagi mengambil alih urusan pendaftaran daripada UNHCR secara berperingkat. Program itu membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data biometrik rasmi bagi mengesahkan identiti serta merekodkan profil keselamatan dan lokasi pelarian.

Menurutnya, pemegang Kad DPP yang diberikan Pas Khas tertakluk kepada syarat keberadaan dan pergerakan, termasuk keperluan mendapatkan kebenaran sebelum keluar dari negeri tempat mereka didaftarkan.

“Mereka hanya dibenarkan berada di negeri yang didaftarkan, manakala pergerakan ke negeri lain memerlukan kelulusan bertulis Pengarah Imigresen Negeri.
“Kad DPP bukan dokumen perjalanan dan tidak membenarkan pemegangnya memasuki Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan,” tambahnya lagi.

Hanya individu yang sudah berada di Malaysia sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbangkan untuk menyertai program itu. Pelarian yang dipadankan dengan pekerjaan pula perlu tinggal di penginapan pekerja berpusat (CLQ) bagi memudahkan pemantauan.

Saifuddin berkata keberadaan pelarian di Malaysia bersifat sementara. Penyelesaian jangka panjang yang digariskan kerajaan merangkumi penempatan semula di negara ketiga, penghantaran pulang ke negara asal atau pengusiran mengikut undang-undang.

Sumber: Berita Harian (Zanariah Abd Mutalib)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved