132 kelas baharu Tabika Tunas Istimewa, yuran RM100 - Ahmad Zahid

6 Aug 2026 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 132 kelas baharu Tabika Tunas Istimewa, yuran RM100  - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Sebanyak 132 kelas baharu Tabika Tunas Istimewa di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan dibuka menerusi pembukaan kelas baharu dan kerja-kerja baik pulih bangunan menjelang tahun 2027.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memperluaskan akses pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh negara.

"Daripada 19 kelas yang sedang beroperasi, KEMAS akan menyediakan sehingga 132 kelas tambahan melalui pembukaan serta baik pulih bangunan.

"Dengan yuran yang ditetapkan pada kadar RM100, kita mahu perkhidmatan ini terus mampu diakses oleh keluarga.

"Sasaran kita jelas, iaitu sekurang-kurangnya satu Tabika Tunas Istimewa di setiap daerah menjelang tahun 2027," katanya di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid yang Menteri KKDW berkata, peluasan Tabika Tunas Istimewa itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya di kawasan luar bandar, memperoleh akses kepada pendidikan awal yang berkualiti pada kos yang mampu ditanggung oleh keluarga.

Beliau berkata, usaha berkenaan merupakan antara inisiatif yang diputuskan menerusi siri pemukiman, bengkel dan sesi libat urus yang diadakan kementerian bagi memastikan setiap idea dapat diterjemahkan kepada tindakan berimpak tinggi kepada rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW turut memberi penekanan kepada pendekatan "engagement before decision", iaitu mendengar pandangan, memahami keperluan serta menyelesaikan sesuatu isu sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap dasar dan program yang diperkenalkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta memberi impak yang menyeluruh kepada masyarakat desa.

“Pendekatan saya sentiasa jelas. Kita mesti mencari game changer yang mampu membuka peluang baharu, meningkatkan pendapatan dan membawa perubahan kepada masyarakat desa,” jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved