14 Lelaki Didakwa Bunuh Remaja 19 Tahun Di Gurun

15 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

14 Lelaki Didakwa Bunuh Remaja 19 Tahun Di Gurun

GURUN - Seramai 14 lelaki berusia antara 16 hingga 24 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, yang maut selepas ditahan dan dipukul selama dua hari berhubung dakwaan mencuri motosikal.

Kesemua tertuduh termasuk dua beradik dan dua individu bawah umur mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Haikal di sebuah rumah di Jalan Sungai Petani, Gurun, antara jam 9 malam, 5 Oktober hingga 7.30 pagi, 8 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi mewakili tiga daripada tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa dipercayai dituduh mencuri motosikal, namun tiada laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai bertindak sendiri dengan menahan mangsa di Pendang pada 5 Oktober sebelum membawanya ke sebuah rumah di Gurun dan menahannya selama dua hari.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dipukul, didera dan rambutnya turut dipotong.

“Pada malam 7 Oktober, mangsa ditemukan meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan dan ditemukan kira-kira jam 8 pagi pada 8 Oktober,” katanya.

Mayat mangsa ditemukan berhampiran semak di Jalan Harvard-Gurun pada 8 Oktober selepas orang awam memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian konsisten dengan kecederaan berganda akibat trauma objek tumpul pada kepala.

Polis menahan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun di Gurun dan Guar Chempedak bagi membantu siasatan.

Antara barangan yang dirampas ialah 14 telefon bimbit, sebuah kereta Honda City, sepasang gunting dan kad pengenalan milik mangsa.

Adzli berkata, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, beliau tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu ditemukan meninggal dunia selepas gagal menghubunginya sejak penghujung bulan lalu.

Dalam pada itu, Adzli menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kejadian kecurian atau rompakan kepada polis dan tidak mengambil tindakan sendiri.

“Orang awam boleh membantu menahan suspek dalam keadaan tertentu, tetapi tindakan itu tidak boleh melampaui batas sehingga menyebabkan kejadian seperti ini,” katanya. - Getaran, 15 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved