
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila menundukkan juara Terbuka Artik, Aaron Tai-Yap Roy King untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Denmark di Odense, hari ini.
Kemenangan 21-18, 21-11 dalam tempoh 33 minit itu menyaksikan bekas juara dunia berkenaan mengekang cabaran Aaron Tai-Roy King yang hadir dengan keyakinan selepas menjuarai Terbuka Artik di Finland, Ahad lalu.
Meskipun diuji pada set pertama, Aaron-Wooi Yik menggunakan pengalaman untuk mengawal permainan sebelum meningkatkan tekanan pada set kedua bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan.
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan Aaron-Wooi Yik sebagai antara sandaran utama negara dalam acara beregu lelaki, selain menghidupkan peluang mereka untuk memburu gelaran di kejohanan berkenaan.
Pada aksi suku akhir, juara Terbuka Denmark 2023 itu bakal menentang sama ada pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita atau gandingan China, Hu Keyuan-Lin Xianyi bagi merebut tiket ke separuh akhir.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing turut mencuri perhatian apabila menyingkirkan pasangan nombor lima dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 21-7, 21-11 untuk mara ke suku akhir.
Kemenangan itu meneruskan momentum positif Pang Ron-Pei Jing selepas muncul naib juara Masters China bulan lalu, dengan mereka kini menanti pemenang pertembungan antara juara dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dan pasangan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito. KOSMO! ONLINE
The post Aaron-Wooi Yik sekat juara Terbuka Artik appeared first on Kosmo Online.






