
Kota Kinabalu: Empat belas nelayan Vietnam didenda sejumlah RM1.8 juta kerana menangkap ikan secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada warga Vietnam itu, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Vietnam.
Mereka ialah juragan Ngo Van Nam, serta anak kapal Ngo Van Linh, Nguyen Van Tien, Truong Van Nga, Ngo Van Vuong, Tran Van Son, Tran Van Truong, Pham Van Dong, Tran Van Luong, Truong Hau, Nguyen Ngoc Dai, Pham Van Thanh, Nguyen Thanh Son dan Nguyen Van Phong, kesemuanya berumur 30 tahun.
Juragan didenda RM500,000 atau penjara lima bulan manakala anak kapal didenda RM100,000 atau penjara empat bulan setiap seorang.
Kesemua mereka didapati menangkap ikan tanpa sebarang permit di dalam sebuah kapal pada jam 1.10 tengah hari 13 Ogos tahun ini di Pulau Kalampunian, Kudat.
Kesemua warga Vietnam itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta bagi juragan, dan RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, kesemua warga Vietnam itu meminta hukuman dan dihantar pulang ke negara mereka secepat mungkin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab penangkapan ikan secara haram yang dilakukan oleh nelayan asing telah menjejaskan sumber laut, khususnya di Sabah.
Mahkamah memerintahkan kapal itu dan peralatannya yang digunakan dalam melakukan kesalahan itu, dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Warga Vietnam itu juga diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

