
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 14 Oktober untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RMRM11.38 bilion dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu rayuannya.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.
Najib menfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB itu diperintahkan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.
Turut hadir pada prosiding itu, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan Najib Nooryana Najwa.
Pada 26 Disember tahun lalu, Najib didapati bersalah dan dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan dana 1MDB.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas mendengar mitegasi hukuman daripada pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.
Hakim Datuk Collin Lawrence memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kesemua pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE
The post 14 Oktober pendengaran permohonan Najib gantung perlaksanaan hukuman 1MDB appeared first on Kosmo Online.




