Bergaduh depan sekolah: 16 individu termasuk 14 pelajar didakwa

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 10:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bergaduh depan sekolah: 16 individu termasuk 14 pelajar didakwa
Beberapa pelajar yang terlibat pergaduhan depan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Seramai 14 pelajar dan dua wanita dewasa yang terlibat kes pergaduhan di hadapan sekolah di Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka akan didakwa bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sesama sendiri dan membuat kekecohan di tempat awam.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Sementara seorang suspek akan menghadapi pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sejumlah RM2,000 atau kedua-duanya.

"Sorang lagi suspek berbeza juga akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek," katanya.

Jika disabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pihaknya menegaskan bahawa sebarang bentuk pergaduhan atau salah laku jenayah dalam kalangan pelajar sekolah adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

"Pada masa yang sama, pihak polis menyeru kepada ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik dan memantau tingkah laku anak-anak supaya tidak terpengaruh dan terjebak dalam jenayah," katanya.

Pada Jumaat lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan pergaduhan pelajar di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini yang video kejadiannya tular di media sosial.

Pada hari sama, polis melakukan tangkapan terhadap 14 kanak-kanak lelaki dan dua perempuan dewasa lingkungan usia 12 tahun hingga 37 tahun di kawasan Taman Nusa Bestari dan Iskandar Puteri.

Hasil soal siasat yang dijalankan kesemua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu yang berpunca akibat tidak puas hati apabila salah seorang daripada suspek ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan.

 

 

View Original Article