14 rakyat Malaysia ditahan di luar negara seludup dadah dari KLIA

11 Aug 2026 • 6:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

14 rakyat Malaysia ditahan di luar negara seludup dadah dari KLIA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 14 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana membawa dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, membabitkan rampasan 73.17 kilogram dadah bernilai RM5.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua tangkapan itu melibatkan 14 kes, terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita.

“Negara-negara yang terlibat adalah Taiwan ada enam kes, Filipina (dua), Indonesia (tiga), Hong Kong (satu), Macau (satu) dan Maldives (satu),” katanya pada sidang media mengenai kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di sini hari ini.

Selain itu, Hussein berkata PDRM turut membanteras cubaan membawa keluar dadah melalui KLIA, dengan 51 individu ditahan membabitkan 41 kes dalam tempoh sama.

Beliau berkata kesemua 51 tangkapan itu melibatkan individu daripada 13 negara, dengan pemegang pasport United Kingdom mencatat jumlah tertinggi, iaitu 14 orang, diikuti Malaysia (12), Singapura (lapan), Perancis (lima), Indonesia (dua), Hong Kong (dua), Jepun (dua) serta Thailand, Ireland, Slovakia, India, Portugal dan Uganda masing-masing seorang.

“Daripada 51 orang yang ditangkap di KLIA, kami berjaya merampas 1.2 tan dadah yang melibatkan nilai rampasan RM97 juta. Jadi, ini menunjukkan kejayaan yang polis lakukan di KLIA,” katanya.

Hussein berkata berdasarkan perbandingan jumlah dadah yang dirampas polis di KLIA dengan jumlah yang berjaya dibawa keluar dan dikesan pihak berkuasa luar negara, kira-kira enam peratus daripada cubaan berkenaan berjaya dikesan di luar negara.

“Kalau kita ambil dua nilai ini ataupun statistik ini, maksudnya enam peratus daripada yang kami rampas ataupun berjaya gagalkan cubaan untuk bawa keluar. Ini bermakna kami berjaya di KLIA berdasarkan statistik ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hussein menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran sindiket yang menjanjikan pelbagai insentif, upah lumayan atau percutian.

“Jadi, itu mesej yang kami sampaikan, setiap siri media kami bangkitkan benda ini supaya warganegara kita berjaga-jaga supaya jangan terjebak ataupun terperdaya dengan sindiket yang menawarkan pelbagai insentif, upah, cuti pelancongan dan sebagainya tapi akhirnya mereka terjerat dalam sindiket dadah,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved