Kes dadah juruterbang: Terlalu awal dedah status “orang dalam”

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 7:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kes dadah juruterbang: Terlalu awal dedah status “orang dalam”

PDRM menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan penglibatan “orang dalam” susulan penahanan juruterbang Malaysia yang cuba menyeludup dadah di Indonesia.

SHAH ALAM: Polis menyifatkan masih terlalu awal untuk mendedahkan sama ada individu yang dikenal pasti sebagai “orang dalam” dalam siasatan kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia berkaitan dadah baru-baru ini, terbabit dalam sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata individu itu telah dipanggil dan disoal siasat, namun siasatan masih dijalankan bagi mengumpul lebih banyak keterangan.

“Ya, kami dah panggil dia. Kami dah soal siasat dan kami puas hati dengan kenyataan yang diberikan. Jadi, apa yang saya boleh kata masih dalam siasatan lagi. Terlalu awal untuk saya dedahkan sama ada orang dalam terlibat ataupun tidak.

“Kalau ada orang lain terlibat, saya perlu ada bukti-bukti yang kukuh untuk mengatakan orang lain, juga orang dalam yang terlibat. Pada masa sama, saya pun tidak menafikan orang dalam tidak terlibat. Jadi, masih dalam proses siasatan lagi untuk kumpulkan lebih banyak keterangan,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Menurut Polis Indonesia (POLRI), pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta berdasarkan harga pasaran Indonesia.

Hussein berkata polis bukan sahaja memberi tumpuan kepada kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah turut menjejaki sindiket yang terlibat di dalam dan luar negara.

Beliau berkata siasatan turut melibatkan usaha mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan, termasuk nombor telefon yang dipercayai digunakan untuk menghubungi juruterbang itu.

Hussein bagaimanapun berkata nombor telefon berkenaan didaftarkan menggunakan identiti palsu, sekali gus menyukarkan usaha mengesan pemilik sebenar.

“Perkara ini tak semudah yang kita sangka, (seperti) kami dapat siapa pemilik nombor telefon tu yang didaftarkan di telco dan kami terus pergi cari dia, tidak. Memandangkan sindiket ni menggunakan nombor identiti orang lain, identiti palsu dan sebagainya, kami takkan dapatlah orang itu dengan mudah, dia kena gunakan kaedah teknikal lain untuk jejak mereka ni,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein berkata empat pegawai JSJN telah tiba di Jakarta pagi ini bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes berkenaan, termasuk bagi menemu bual juruterbang terlibat yang dijadualkan pada esok dan Khamis ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kami diberi ruang untuk berjumpa dengan warganegara Malaysia itu pada 12 dan 13 (Ogos), dua hari nantilah untuk temu bual dia bagi dapatkan lebih banyak maklumat dan membandingkan nota apa yang kami dapat di sini dari segi sindiket dan sebagainya untuk berdepan dengan dia dan beberapa perkara lain yang ada kaitan dengan kes itu supaya kami boleh dapatkan lebih banyak maklumat dan lebih tepat daripada dia,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia turut membabitkan usaha mengesan rangkaian sindiket antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Kami sedang menjejaki individu-individu yang terlibat dalam sindiket ini. Di samping itu, kami mengesan sindiket di dalam negara di mana dia mendapat sumber dadah itu. Kami juga berkolaborasi dengan Indonesia untuk melihat sindiket antarabangsa di Indonesia yang mana ada kaitan,” katanya.

Hussein ketika ditanya mengenai penahanan seorang warganegara Malaysia di Chennai, India kerana membawa empat kilogram ganja berkata pihaknya percaya individu itu mendapatkan bekalan dadah berkenaan dari Bangkok.

Beliau berkata PDRM telah memperoleh maklumat berkaitan identiti individu, kewarganegaraan dan butiran penerbangannya, dan akan memantau sama ada individu itu mempunyai kaitan dengan sindiket di Malaysia atau direkrut sebagai keldai dadah di Thailand atau Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved