
JOHOR BAHRU – Seramai 15 ahli sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud yang menyasarkan warga Amerika Syarikat (AS) masing-masing dikenakan denda RM3,500 dan RM4,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud, Jumaat lalu.
Di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, sembilan lelaki tempatan dikenakan denda sebanyak RM3,500 setiap seorang selepas kesemua mereka mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara bersama.
Mereka ialah Liew Ming Hui, 23, Chong Yong Xuan, 25, Gan Kai Lin, 20, Gan Wei Xiang, 23, Myles Tan Yi, 21, Eldrick Tan Chin Lim, 24, Tan Hong Wei, 23, Dennis Chong Wen Wei, 28 dan Chuah Kian Wei, 21.
Manakala di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, seorang lelaki tempatan bersama lima lelaki warganegara China dikenakan hukuman denda RM4,200 setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah.
Tertuduh ialah, Yau Chin Lin, 33, Dong Ningning, 34, Chen Haihui, 40, Wang Mengnan, 34, Li Xing, 28 dan Sun Qixin, 30.
Mahkamah turut memerintahkan terduduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Kesemua tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan pakatan jahat jenayah dengan membuat penipuan pekerjaan tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah unit apartmen di East Ledang Nusajaya, Iskandar Puteri di sini pada 2.40 petang dan 5.30 petang, 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen Seksyen 120B(2) dan dibacakan bersama Seksyen 417 kanun yang sama yang memperuntukan penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Gan Chee Cheng serta Chuah Shyue Chien. – KOSMO! ONLINE
The post 15 ahli sindiket didenda tipu ‘Mat Saleh’ tawar kerja tak wujud appeared first on Kosmo Online.






