10 Bekas EXCO Negeri Sembilan Pulangkan Kenderaan Rasmi

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 8:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

10 Bekas EXCO Negeri Sembilan Pulangkan Kenderaan Rasmi

SEREMBAN - Kesemua 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan yang dilucutkan jawatan telah memulangkan kenderaan rasmi masing-masing susulan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mereka juga tidak lagi hadir ke pejabat masing-masing di Wisma Negeri sejak pembatalan pelantikan itu diwartakan Khamis lalu.

Bekas EXCO, Datuk Mohd Asna Amin yang mewakili kumpulan berkenaan mengesahkan mereka telah mematuhi arahan tersebut.

“Sejak warta dikeluarkan, saya tidak lagi menggunakan kenderaan rasmi. Kami menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya memulangkan kenderaan.

“Kami patuh kepada arahan itu. Tidak mengapa, apa sahaja arahan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng.

Bagaimanapun, pejabat bekas EXCO di Wisma Negeri masih beroperasi dengan pegawai dan kakitangan masing-masing terus hadir bertugas seperti biasa.

Seorang pegawai berkata, kesemua bekas EXCO kini tidak lagi hadir ke pejabat di Wisma Negeri dan menjalankan tugas sebagai ADUN dari pusat khidmat kawasan masing-masing.

“Bekas EXCO tidak lagi datang ke pejabat di Wisma Negeri. Semua ADUN beroperasi dari pusat khidmat kawasan masing-masing.

“Hanya pegawai dan kakitangan masih bekerja di sini,” katanya.

Pelantikan 10 EXCO terbabit dibatalkan berkuat kuasa 20 September lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pembatalan itu susulan kenyataan mereka yang mengesahkan satu perisytiharan berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz.

Kesemua 10 bekas EXCO itu kemudian dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Isnin lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung perkara berkenaan.

Selain Mohd Asna, sembilan lagi ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban semalam.

Pertemuan itu berlangsung ketika kemelut membabitkan pentadbiran negeri dan institusi adat Negeri Sembilan masih berterusan.

Ismail bagaimanapun belum mengulas hasil pertemuan berkenaan atau mendedahkan perkara yang dibincangkan. - Getaran, 30 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved